PRK AYER KUNING | PN mendakwa DAP mengapi-apikan ketegangan kaum di negara ini, dengan negara hanya boleh diselamatkan jika parti itu tiada lagi dalam arena politik.
Menegaskan parti komponen PN tidak patut dipersalahkan atas insiden mutakhir ini yang dikatakan mencetuskan sensitiviti Melayu-Islam, Ketua Pengarah Pilihan Raya PN Muhammad Sanusi Md Nor sebaliknya meletakkan kesalahan itu kepada DAP.
“Pihak yang meniupkan (api) perkauman di negara ini bukan PN, bukan PAS atau Bersatu tetapi DAP,” katanya ketika program ceramah di Bidor semalam.
“Calon BN (untuk PRK Ayer Kuning) duduk dengan DAP – parti bahaya dan cauvinis.
“Walaupun dia (DAP) tampil dengan lidah yang lembut, lembut gigi daripada lidah tetapi percayalah sejarah menunjukkan rentetan penubuhan DAP inilah, negara kita semakin hari semakin panas dengan perkauman.
“Depan kita (DAP) pijak semut tak mati, belakang kita pula lain. Cakap Mandarin atau Kantonis, kita tak tahu,” kata menteri besar Kedah itu.
Menjawab tuduhan mengamalkan perkauman, Sanusi membangkitkan keturunan Cina dalam keluarganya serta hubungan peribadinya dengan kalangan kaum lain, sambil menegaskan PN bukan bersikap perkauman tetapi hanya “berterus-terang”.
Dalam ucapannya, Sanusi turut mengaitkan “sebuah parti yang ditubuhkan pada 1963” dengan beberapa kontroversi melibatkan bendera negara.
Walaupun kontroversi itu seperti tidak disengajakan, katanya lagi, PN mengesyaki ia adalah “perbuatan yang disengajakan”.
“Selepas parti itu dapat 40 kerusi Parlimen, tekanan antara kaum tercetus semula, muncul keberanian untuk memadamkan bulan sabit (pada bendera) yang merupakan lambang kepada Islam pada Jalur Gemilang.
“Peristiwa seperti ini tak pernah terjadi. Ia hanya terjadi ketika ‘parti tahun 1963′ ada kuasa di negara ini,” dakwanya.

DAP yang ditubuhkan pada 1965 dan didaftarkan secara rasmi setahun kemudian kini memegang 40 kerusi di Dewan Rakyat, menjadikannya parti komponen PH dengan kerusi paling banyak.
Menggesa pengundi Ayer Kuning untuk menunjukkan rasa tidak puas hati kepada kerajaan persekutuan dengan mengundi PN, Sanusi berkata mereka perlu menolak BN sebagai permulaan kepada pengakhiran legasi politik DAP di Malaysia.
Semalam, Timbalan Pengerusi PN Hamzah Zainudin menyuarakan keyakinan yang gabungan itu mampu mendapatkan sokongan daripada penyokong setia Umno yang tidak puas hati dengan DAP.
Dia berkata ramai pengundi yang membantah kerjasama antara Umno dan DAP – atau “UmDAP” – dan lebih suka jika Umno bersama-sama PN.

UmDAP ialah istilah yang digunakan terhadap Umno oleh lawannya selepas parti itu bergabung dengan DAP untuk membentuk kerajaan selepas PRU 2022.
Pengundi Ayer Kuning akan keluar mengundi esok selepas kempen berjalan selama dua minggu.
PN menampilkan Yang di-Pertua PAS Tapah Abd Muhaimin Malek, manakala BN mencalonkan Setiausaha Umno Tapah Yusri Bakir.
Timbalan setiausaha agung PSM Bawani KS turut bertanding dalam pertembungan tiga penjuru bagi kerusi DUN itu, yang diisytihar kosong susulan kematian penyandangnya dari Umno, Ishsam Shahruddin, pada 22 Februari.