Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) meluluskan RM500,000 untuk projek bakul makanan sempena Deepavali anjuran Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), sebuah agensi bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop).
Menurut surat bertarikh 19 Sept 2025, Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Shahrol Anuwar Sarban memohon peruntukan itu daripada Ketua Pengarah Mitra G Prabagaran bagi pemberian bakul makanan sempena perayaan Deepavali kepada 5,000 penerima B40 kaum India.
Menurut surat yang dilihat Malaysiakini itu, Shahrol Anuwar juga memberitahu Prabagaran bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersetuju dengan program itu.
“Sehubungan bersama- sama ini dipanjangkan surat tersebut untuk perhatian dan tindakan pihak tuan selanjutnya,” kata Shahrol dalam surat tersebut.

Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri (PMO) menegaskan bahawa dana RM100 juta Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) hanya disalurkan kepada program berimpak tinggi melalui proses penyelarasan dan penelitian rapi.
Malaysiakini telah menghubungi Shahrol Anuwar, Mitra, AIM, Timbalan Menteri Kuskop Ramanan Ramakrishnan dan PMO serta masih menunggu maklum balas mereka.
Menurut sumber Mitra, 13 program yang dikatakan berimpak tinggi adalah program nyanyian lagu keagamaan ‘Thevaram’ (enam), latihan bola sepak (tiga), dan masing-masing satu program pelajar STPM, kesusasteraan Tamil, latihan kejuruteraan automasi dan latihan gunting rambut.
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan bahawa PMO menolak 30 permohonan yang diluluskan Mitra atas alasan terdapat pertindihan.
PMO juga menjelaskan beberapa permohonan tidak dapat diluluskan atas faktor pertindihan bidang kuasa, terutamanya yang berkaitan dengan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), yang berada bawah Majlis TVET Negara.
Sebaliknya, PMO hanya membenarkan 13 program dengan potongan dana hampir 50 peratus.
Mengikut permohonan asal diterima surat setuju terima (SST), jumlah peruntukan untuk 13 program ini adalah RM1.7 juta, Namun, kini ia dikurangkan kepada kurang daripada RM900,000.
‘Charlatan’, salah guna kuasa – MIPP
Sementara itu, ketika diminta mengulas, Timbalan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) S Subramaniam mengecam tindakan kerajaan menyalurkan dana Mitra kepada AIM.
“Ini satu penyalahgunaan kuasa yang sangat serius. Kita semua tahu AIM bawah Kuskop. Sekiranya, AIM nak bantu masyarakat India guna sahaja dana kementerian itu.
“Kenapa nak gunakan dana Mitra. Katakan, nak gunakan juga dana Mitra, kenapa Mitra sendiri mengurus program bakul makanan ini?” katanya kepada Malaysiakini.

Dia turut mengecam Anwar sebagai seorang tidak boleh dipercayai.
“Saya nak katakan, Anwar ini seorang charlatan (palsu). Langsung tidak mengenang budi sokongan masyarakat India sejak 2008.
“Kamu membelanja beratus juta untuk program yang sia-sia. Takkan kamu tak ada RM500,000 untuk masyarakat India.
“Dana ini pun hanya setahun sekali sahaja,” katanya.






