Seorang peguam menganggap dakwaan kononnya personaliti dakwah dari India, Dr Zakir Naik, sedang dirawat dihospital kerana menghidap Aids sebagai “mengarut.”
Akberdin Abdul Kadir memberitahu Malaysiakini, Zakir sekarang berada di luar negara.
“Seperti yang saya katakan kepada anda, (dakwaan Zakir dirawat) itu adalah mengarut, berita palsu dan langsung tidak benar,” katanya.
Baru-baru ini, muncul dakwaan di media sosial mengatakan Zakir disahkan menghidap penyakit tersebut dan kini sedang dirawat di sebuah pusat perubatan swasta di Lembah Klang.
Zakir merupakan seorang warganegara India yang memegang status penduduk tetap Malaysia.
Pada 2019 dia disiasat pihak polis selepas membuat beberapa kenyataan yang kurang menyenangkan masyarakat Cina dan India, sehingga lebih 100 laporan polis dibuat terhadapnya.
“Kamu tahu tak yang ada orang yang panggil saya seorang tetamu? Jadi saya kata, sebelum saya (datang), kaum Cina adalah tetamu. Jika kamu mahu tetamu baru keluar dulu, minta tetamu lama pulang.
“Kaum Cina, kebanyakan dari mereka tidak lahir di sini, mungkin generasi baru, ya (lahir di sini),” katanya.
“Jika kamu mahu tetamu itu pulang, dan tetamu lain yang membawa keamanan dalam sesuatu komuniti tersebut, mereka (tetamu itu) membawa manfaat kepada keluarga itu,” katanya dalam satu syarahan di Kelantan pada Ogos 2019.
Dia turut juga mendakwa bahawa masyarakat India Malaysia kelihatan lebih mempercayai kerajaan India berbanding perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad.
Walaupun larangan terhadapnya untuk berucap di khalayak ramai telah dikenakan tidak lama selepas insiden itu, awal tahun ini Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan ia hanya berkuat kuasa pada 2019 – ketika siasatan terhadap Zakir masih berjalan.
Perkara ini timbul selepas Zakir tampil sebagai penceramah jemputan dalam satu ceramah agama di Perlis pada 2 Feb lalu.