Polis memulakan siasatan berhubung dakwaan tindakan menembak mati anjing liar di kampus Universiti Putra Malaysia (UPM).
Ketua Polis Daerah Serdang ACP Farid Ahmad berkata satu laporan telah dibuat oleh pengadu yang tidak berpuas hati terhadap pihak universiti kerana didakwa mengupah syarikat kawalan makhluk perosak swasta untuk membunuh haiwan berkenaan.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 30(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772), yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000, atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada sidang media 3 Okt lalu, Pertubuhan Perlindungan Khazanah Alam Malaysia (Peka) mendakwa UPM telah melantik sebuah syarikat di Sentul untuk membunuh anjing di kampus dengan kadar bayaran RM400 seekor.
NGO itu menudakwa UPM membunuh sekurang-kurangnya 15 ekor anjing, dan turut mengemukakan gambar menunjukkan haiwan berkenaan ditembak mati.
Syarikat terbabit dinamakan dalam invois bertarikh November 2024 yang dikatakan dihantar kepada UPM bagi kerja “menangkap dan melupuskan anjing liar”, namun dokumen itu tidak menyatakan kaedah pelupusan dijalankan.

Berikutan dakwaan itu, UPM mengumumkan telah menubuhkan jawatankuasa siasatan dalaman untuk menyiasat dakwaan tersebut.
Bagaimanapun, presiden Peka yang juga peguam, Rajesh Nagarajan, menyifatkan langkah itu sebagai “tidak masuk akal” dengan menegaskan bahawa “jenayah tidak boleh disiasat secara dalaman oleh pihak yang dituduh melakukannya.”
Sementara itu, Setiausaha Agung Pemuda MCA, Saw Yee Fung, mengecam keras tindakan tersebut yang didakwa melibatkan penggunaan senjata api terhadap haiwan liar, yang disifatkan sebagai kejam dan tidak boleh diterima.

“Universiti sebagai pusat ilmu dan tanggungjawab sosial sepatutnya menjadi contoh dengan menggunakan pendekatan berperikemanusiaan serta beretika dalam menangani isu haiwan liar.
“Tindakan menembak anjing di dalam kampus bukan sahaja kejam, malah memberi mesej salah kepada pelajar tentang penyelesaian masalah, empati dan penghormatan terhadap kehidupan,” katanya dalam kenyataan rasmi.
Saw turut menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh dan telus, serta memastikan mereka yang bertanggungjawab diheret ke muka pengadilan bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.






