Malaysia Oversight

Dakwaan Fifa mengajak kita berfikir

By MkiniBM in September 30, 2025 – Reading time 3 minute
Dakwaan Fifa mengajak kita berfikir


ULASAN SUKAN |  Komuniti bola sepak kita ada pilihan – sama ada bersabar dan memberi sokongan moral kepada skuad negara, atau pun terus mengkritik serta meminta pemimpin tertinggi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meletakkan jawatan masing-masing.

Namun jika pun mereka berundur, adakah isu dakwaan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) mengenai status tujuh pemain berdarah warisan negara dapat dibereskan dan membersihkan kembali nama negara?

Ketika ini, ada dua kumpulan yang kuat bersuara. Satu menyokong FAM dengan tanggapan mungkin berlaku kesilapan teknikal; dan satu kumpulan lain pula terus menyoal integriti badan induk itu.

Jelas sekali, imej bola sepak kita sudah tercalar dengan pengumuman mengejutkan itu. Pada kaca mata dunia, cerita seperti ini memberi perspektif yang negatif terhadap Malaysia.

Ia memalukan bukan hanya kepada bola sepak tetapi impaknya turut ditanggung seluruh rakyat.

Babak berikutnya ialah penantian tempoh 10 hari diberikan oleh Fifa kepada FAM untuk mengemukakan rayuan. Selepas itu barulah kita dapat melihat gambaran lebih jelas, siapa benar dan siapa salah.

Namun, berpandu kepada pepatah ‘kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang’ jelas sekali dakwaan dibuat Fifa itu mengajak kita untuk merenung sedikit. Justeru jika dakwaan itu tidak benar, sekurang-kurangnya ia mungkin separuh benar.

Fifa membuat keputusan berasaskan proses penyelidikan terperinci di Zurich sebelum menghantar surat rasmi kepada FAM tempoh hari dengan segala hujah mereka.

Bukan sahaja pemain dihukum selama 12 bulan, malah FAM juga didenda RM1.8 juta.

Harap kekusutan terlerai segera

Tujuh pemain terbabit – Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel yang beraksi dalam kelayakan Piala Asia 2027 – kini meniti saat kegelapan.

Apa pun, berita melegakan ialah krisis itu tidak menjejaskan skuad Harimau Malaya dan ia akan berfungsi seperti biasa dan bakal beraksi dalam kelayakan Piala Asia pada awal Okt. ini.

Perkembangan positif itu disuarakan oleh Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Windsor Paul John, apabila menyebut Harimau Malaya tidak digantung, sebaliknya hanya tujuh pemain terbabit saja.

Katanya, FAM juga tidak digantung. Hal itu kerana Fifa hanya mengenakan denda.

Windsor menambah tiada isu Harimau Malaya tidak dapat beraksi kerana skuad berkenaan ‘masih hidup’.

Pada saat ini hanya FAM yang tahu mengenai dakwaan dokumen dipalsukan itu – sama ada sahih atau pun ada kesilapan berlaku tanpa disedari.

bc1e78ba8f9546cdfd8bf1e1d3ba3a62

Komuniti bola sepak akan lebih gembira jika segala kekusutan itu dapat dileraikan secara lebih ikhlas. Ringkasnya, mereka mahu FAM bersifat terus terang sajalah.

Bagi mereka, cukuplah dengan segala sandiwara selama ini yang tidak banyak menguntungkan bola sepak.

Tidak dinafikan elemen emosi dan marah masih memuncak dalam kalangan penyokong, pengkritik dan pemerhati. Mereka, sebagai pembayar cukai terasa malu dipalit dengan berita menggemparkan seperti sekarang.

Peminat tegar, umpamanya, sudah letih dan tidak mahu tertipu lagi. Apa pun, jauh dalam hati, mereka tetap menyayangi Harimau Malaya.

FAM juga harus mencari penawar duka bagi kelompok setia terbabit.

Jangan sampai mereka yang setia hadir di gelanggang untuk menjerit dan menyorakkan semangat pada setiap perlawanan terus hilang kepercayaan kepada pentadbiran bola sepak negara.

Selain FAM, pihak atasan lain termasuk Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara, umpamanya, juga ada peranan meyakinkan Fifa bahawa pengurusan bola sepak Malaysia tidak bersalah.

Yang pasti pada saat ini rakyat sebenarnya bukan marah atau sudah hilang kesabaran, tetapi mereka sebenarnya rasa terhina.

Soal maruah menjadi pertaruhan dan FAM harus bertanggungjawab di atas kemelut ini, jika ia benar.

Harap ‘malapetaka’ ini dapat berakhir segera.


V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.



Source link