Pegawai khas kepada Naib Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu, membuat laporan polis berhubung satu hantaran Facebook Umno Perak yang didakwa memfitnah Pengerusi PN negeri itu.
Hantaran itu mendakwa Ahmad Faizal semasa menjawat jawatan Menteri Besar Perak dari tahun 2018 hingga 2020, telah meluluskan 103 lesen ladang babi di negeri tersebut.
Menegaskan bahawa dakwaan itu tidak berasas dan merupakan fitnah jahat, Ahmad Faizal turut memaklumkan bahawa hantaran itu memaparkan gambarnya serta merujuk jelas kepada dirinya sebagai “bekas MB PN”.
“Hantaran ini adalah satu fitnah berniat jahat yang sengaja dilakukan untuk menjatuhkan imej dan reputasi saya.
“Laporan polis ini adalah untuk meminta pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan segera terhadap mereka yang telah melakukan dan menyebarkan fitnah jahat serta merosakkan imej dan reputasi peribadi saya secara khusus dan kepada Perikatan Nasional dengan amnya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Menurut salinan laporan polis yang dilampirkan dalam hantaran bekas Menteri Belia dan Sukan itu, laporan tersebut dibuat sekitar tengah malam tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh.
Sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning yang berakhir tengah malam tadi, PN beberapa kali membangkitkan isu berkaitan ladang babi dalam kawasan DUN tersebut yang terletak di bawah Parlimen Tapah.
Terdahulu, PN mendakwa terdapat banyak ladang babi di kawasan itu dan menegaskan ladang ternakan tersebut tidak sepatutnya beroperasi di kawasan majoriti penduduk Melayu.
Terbaru, Naib Presiden PAS, Idris Ahmad, mendakwa pihaknya memiliki bukti menunjukkan Sungai Bidor tercemar akibat sisa dari ladang babi di Kampung Poh.
Walaupun mengakui ladang tersebut tidak terletak dalam kawasan DUN Ayer Kuning, Idris menegaskan pihak berkuasa perlu menyiasat perkara itu kerana Sungai Bidor merupakan sumber air sekunder dan lokasi rekreasi bagi penduduk setempat.
Semalam, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, memaklumkan sembilan ladang babi di Ayer Kuning mematuhi peraturan pembuangan sisa dan tidak menyebabkan pencemaran sungai.
Penemuan itu, katanya, diperoleh melalui kajian saintifik yang dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) negeri.
Seramai 31,281 pengundi di DUN Ayer Kuning dijadualkan mengundi hari ini bagi memilih wakil rakyat mereka susulan kematian penyandangnya daripada Umno, Ishsam Shahruddin, pada 22 Feb lalu.
PRK itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon PN, Abd Muhaimin Malek; calon BN, Yusri Bakir dan calon PSM, Bawani KS.