Malaysia Oversight

Cubaan Israel duduki Gaza mesti ditentang sekeras-kerasnya

By TheSun in August 11, 2025 – Reading time 1 minute
Cubaan Israel duduki Gaza mesti ditentang sekeras-kerasnya


NEW YORK: Cubaan Israel untuk menduduki Semenanjung Gaza mesti ditentang sekeras-kerasnya, kata Wakil Tetap ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Fu Cong.

Beliau membuat gesaan itu semasa sesi tergempar Majlis Keselamatan PBB (UNSC) pada Ahad susulan Kabinet Keselamatan Israel meluluskan rancangan pengambilalihan kawalan ke atas Bandar Gaza.

Fu berkata Gaza adalah milik rakyat Palestin dan merupakan sebahagian yang tidak boleh dipisahkan daripada wilayah Palestin.

Sebarang cubaan untuk mengubah demografi atau struktur wilayah Gaza mesti ditentang dengan tegas.

Beliau menggesa supaya Israel mendengar suara masyarakat antarabangsa dan rakyat, menghentikan serta-merta segala tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan serta menamatkan operasi ketenteraan terhadap Gaza.

Negara-negara yang mempunyai pengaruh besar terhadap pihak-pihak terbabit perlu menunjukkan sikap yang adil dan bertanggungjawab serta mengambil tindakan praktikal untuk mendorong pelaksanaan gencatan senjata, katanya.

Fu turut mendesak agar Israel memenuhi kewajipannya sebagai kuasa pendudukan di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, membuka semua lintasan sempadan dan menarik balik sekatan ke atas akses bekalan bantuan.

Beliau turut menyeru masyarakat antarabangsa melipatgandakan usaha bagi mempercepat pelaksanaan formula ‘penyelesaian dua negara’ dan bersama-sama menentang sebarang tindakan unilateral yang menjejaskan asas formula berkenaan- BERNAMA-CMG



Source link