HAVANA/WASHINGTON – Pasukan Pengawal Pantai Cuba berkata pada Rabu pihaknya menembak mati empat orang dan mencederakan enam lagi yang menaiki bot laju berdaftar Amerika Syarikat (AS) semasa insiden berbalas tembakan berhampiran perairannya, sehingga mencetuskan sumber ketegangan baharu dengan Washington.
Havana tidak mendedahkan kewarganegaraan penumpang di atas bot yang berdaftar di Florida itu mahupun punca ia menghampiri pulau yang diperintah komunis tersebut, yang berada di bawah sekatan ketat AS.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio berkata, Washington sedang mendapatkan fakta sendiri mengenai kejadian tembakan itu dan akan bertindak sewajarnya.
“Kami tidak akan membuat kesimpulan berdasarkan apa yang mereka (Cuba) beritahu kami. Saya sangat yakin bahawa kami akan mengetahui cerita penuh tentang apa yang berlaku di sini,” kata Rubio kepada wartawan ketika lawatan ke negara Caribbean, St Kitts dan Nevis.
“Apabila kami mengumpul lebih banyak maklumat, kami akan bersedia untuk bertindak sewajarnya,” tambahnya..
Sementara itu di Washington, Naib Presiden AS JD Vance berkata, Rumah Putih sedang memantau situasi itu dan berharap, ia tidak seteruk seperti yang menjadi kebimbangan pihaknya.
Vance menambah bahawa beliau telah diberi taklimat oleh Rubio yang menghadiri sidang kemuncak Komuniti Caribbean, tetapi berkata: “Kami tidak mengetahui banyak butiran.”
Peguam negara Florida, yang terletak hanya 160 kilometer dari Cuba merentasi Selat Florida, mengarahkan siasatan terhadap pembunuhan tersebut.
Kementerian Dalam Negeri Cuba berkata, pengawal pantai telah bertemu dengan kapal AS haram bernombor pendaftaran FL7726SH, satu batu nautika dari pulau Cayo Falcones di luar pantai utara Cuba.
Apabila kapal pengawal pantai menghampiri, tembakan dilepaskan dari bot laju haram itu, menyebabkan komander kapal Cuba cedera, menurut kementerian tersebut.
“Akibat pertempuran itu, empat penceroboh terbunuh dan enam yang lain cedera,” kata kementerian itu, sambil menambah bahawa yang cedera telah dipindahkan dan menerima rawatan perubatan.
Kerajaan Cuba kerap melaporkan pencerobohan oleh bot laju dari Amerika ke dalam perairan wilayahnya.
Kementerian Dalam Negeri berkata pihaknya masih menyiasat insiden itu dan kekal komited untuk melindungi perairan Cuba. – AFP


![[SALAM PERANTAUAN] Jauh di mata, dekat di hati](https://prwire.my/wp-content/uploads/2026/03/SALAM-PERANTAUAN-Jauh-di-mata-dekat-di-hati-300x200.jpeg)


