Critterz Ialah Filem Animasi Pertama Dijana Sepenuhnya Menggunakan Teknologi OpenAI
Effi Saharudin
Semalam kami laporan siri animasi pendek Misteri Di Sebalik Order yang diterbitkan oleh TV3 di TikTok dengan ia dijana sepenuhnya menggunakan kecerdasan buatan (AI). Berdasarkan komen yang ditinggalkan, majoriti pembaca memberikan reaksi yang sangat negatif. Walaupun penggunaan AI generatif bagi menghasilkan siri dan filem menerima kritikan, OpenAI telah bekerjasama dengan Vertigo Films dan Native Foreign untuk menerbitkan filem animasi yang dijana sepenuhnya menggunakan AI.
Filem animasi Critterz adalah berasaskan animasi pendek yang dihasilkan oleh Chad Nelson dua tahun lalu menggunakan AI generatif DALL-E dengan kemudian dihasilkan semula menggunakan Sora. Atas usaha beliau ini, Nelson diambil bekerja di OpenAI bagi membangunkan AI generatif yang boleh digunakan untuk produksi filem penuh.
Proses menghasilkan filem ini dijangka mengambil masa 9 bulan, hanya memerlukan 30 juruanimasi dan menelan belanja $30 juta. Ia bukan sahaja memerlukan tempoh pembikinan yang lebih pendek tetapi kos juga jauh lebih murah. Filem animasi Frozen sebagai perbandingan mengambil masa 4 tahun, menggunakan ribuan tenaga kerja dan menelan belanja $140 juta.
Pelakon manusia akan diambil untuk menyuarakan watak dengan skrip ditulis oleh mereka yang terlibat dengan pembikinan filem Paddington in Peru. Sekiranya semua berjalan lancar, Critterz akan dipertontonkan di Festival Filem Cannes pada Mei tahun depan.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.