ColorOS 16 Versi Global Diumumkan Secara Rasmi
Amy Maizuraa
ColorOS 16 dilancarkan secara global dengan peningkatan menyeluruh terhadap pengalaman pengguna. Sistem ini dibina berasaskan teknologi animasi daripada versi sebelum. Kini, ia menampilkan ciri Seamless Animation yang menawarkan pergerakan lebih lancar bagi setiap interaksi dalam sistem operasi.

Ia hadir dengan dua teknologi utama yang direka untuk meningkatkan kelancaran sistem iaitu Luminous Rendering Engine dan Trinity Engine. Teknologi Luminous Rendering Engine memastikan setiap paparan dan pergerakan dalam sistem kekal lancar. Sementara itu, Trinity Engine membantu cip berfungsi dengan lebih cekap sekali gus menjamin prestasi serta penjimatan tenaga sebaiknya.

Antaramuka turut telah direka semula dengan elemen cahaya dan bayang semula jadi bagi menghasilkan paparan yang lebih kemas, moden dan mesra pengguna. Melalui sistem ini, pengguna boleh menetapkan imej atau video sebagai latar belakang, memilih jenis fon mengikut cita rasa serta menerima cadangan teks pintar yang dijana oleh AI untuk pengalaman yang lebih peribadi.
Ciri Always-On Display (AOD) kini menyokong paparan skrin penuh membolehkan pengguna melihat imej latar dan maklumat penting secara jelas, serta membuka skrin kunci dengan satu sentuhan. Melalui ciri baharu Flux Home Screen, pengguna boleh mengubah saiz ikon manakala susun atur skrin utama akan disesuaikan secara automatik dengan gerakan yang lebih lancar.

ColorOS 16 hadir dengan ciri AI Portrait Glow untuk menghasilkan potret lebih jelas dalam pencahayaan rendah. Ia turut menawarkan fungsi AI Eraser, AI Unblur, dan AI Reflection Remover bagi memudahkan proses suntingan. Editor video terbina juga dipertingkat dengan Master Cut yang menyokong potongan video, kawalan kelajuan, muzik, teks, dan pelbagai tetapan tambahan.
Selain itu, sistem menyokong O+ Connect untuk Mac dan Windows bagi membolehkan pengguna mengawal komputer serta mengurus fail telefon dengan lebih mudah.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






