Malaysia Oversight

Ciri-ciri perdana menteri menurut Al-Farabi

By MkiniBM in September 23, 2025 – Reading time 4 minute
malaysiakini logo


PULASAN | Apabila Bersatu melalui perhimpunan agung tahunannya dua minggu lalu menamakan Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri ke-11, kita pun menanti dengan penuh debar apa reaksi .

Iyalah, calon Perdana Menteri Bersatu bermakna calon Perdana Menteri PN juga. Calon perdana menteri itu tentulah mesti dipersetujui oleh yang mempunyai kerusi – sama ada di Dewan Rakyat atau DUN – terbanyak dalam gabungan itu.

Maka bersilat lidahlah yang mengadakan muktamar tahunan mereka hanya lebih kurang seminggu selepas Bersatu.

Pemuda PAS memulakan langkah dengan menamakan timbalan presiden mereka, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden, ketika ditanya tentang pemilihan Tuan Ibrahim – dan bukan Abdul Hadi Awang – menjawab, ia adalah pertimbangan dari faktor kecerdasan.

Tidak dapat dipastikan adakah Afnan Hamimi benar-benar memaksudkan Abdul Hadi kurang cerdas ketimbang Tuan Ibrahim, atau dia sekadar tergelincir lidah lalu tersalah sebut sehingga memilih perkataan itu walaupun fikirannya memaksudkan “cergas”.

Tak apalah, kita abaikan saja dulu yang itu.

Selepas ketua pemuda, kita naik hierarki sedikit kepada Naib Presiden PAS, Mohd Amar Abdullah. Mohd Amar tidak menamakan sesiapa tetapi baginya sesiapa sahaja boleh jadi perdana menteri asalkan orang itu tidak gila.

66001d8afe39f44c2955a269014e3d89
Mohd Amar Abdullah

Naik sedikit lagi kepada presiden. Abdul Hadi juga tidak menamakan sesiapa tetapi meletakkan syarat seseorang calon perdana menteri perlulah berilmu, berintegriti dan cergas.

Dia juga menambah calon berkenaan perlulah berusia 70 tahun atau ke bawah.

Di situ, Abdul Hadi perlu dipuji dengan seikhlasnya kerana mengeluarkan diri dia sendiri daripada senarai calon atas faktor usia dan kesihatan sekali gus.

Dalam hierarki PAS, mursyidul am adalah jawatan tertinggi. Mari kita lihat apa kata penyandang jawatan itu, Hashim Jasin pula.

Katanya, kalau seperti perdana menteri yang kita ada sekarang, yakni Ibrahim, PAS boleh menawarkan orang yang sama sehingga tiga atau empat lori!

Dia kemudiannya menyenaraikan empat syarat yang perlu ada dalam diri calon perdana menteri daripada PAS.

Empat syarat tersebut ialah takutkan Allah, beramal dengan syariat, bersiap menghadapi mati dan reda dengan yang ada.

Pakar dalam bidang mantik

Ridzwan Abu Bakar, pemimpin dan aktivis Amanah mengulas hal itu dengan menyatakan bahawa Hashim mungkin keliru antara takrifan takwa dan syarat menjadi pemimpin.

Kata Ridzwan, empat syarat yang diungkap oleh Hashim itu sebenarnya takrifan takwa yang digariskan oleh Sayidina Ali Abi Talib dan ia tidak boleh diukur. Hanya Allah yang boleh mengukur takwa.

Justeru, katanya, bagaimana kita mahu mengangkat pemimpin menggunakan kriteria yang tidak boleh diukur?

Di sinilah saya ingin menitipkan sedikit maklumat tentang ciri-ciri pemimpin yang digariskan oleh sarjana besar dunia, Al-Farabi.

Harap-harap ia boleh diukur, atau sekurang-kurangnya kita boleh lihat ada atau tidak ada ciri-ciri berkenaan pada sebarang calon perdana menteri kita.

Iyalah –  ada tiga atau empat lori, yang mahu dipilih hanya satu!

Sebelum kita melihat apa ciri-ciri pemimpin menurut Al-Farabi, eloklah kita ulang kaji sedikit siapakah tokoh yang dipetik namanya itu.

Al-Farabi (872-950M) ialah seorang ahli falsafah yang digelar sebagai al-Muallim al-Thani kerana dianggap sebagai mahaguru kedua falsafah selepas Aristotle.

Dalam kalangan ahli falsafah Islam dia boleh dikatakan pakar atau sangat mendalami persoalan logik/mantik dan metafizik. Menjadi ahli falsafah bermakna mereka ialah ahli mantik dan ahli metafizik.

Kelebihan Al-Farabi berbanding tokoh yang lain ialah, dia juga seorang ahli falsafah politik.

Dalam karyanya al-Madinah al-Fadhilah (The Virtuous City), Al-Farabi membincangkan tentang ciri-ciri ideal seorang ketua (ar-rais atau imam).

Memimpin bukan dipimpin

Untuk konteks, Al-Farabi hidup pada zaman khilafah Abbasiah, maka bolehlah dianggap ciri-ciri pemimpin ideal yang digarapkan merujuk kepada ciri-ciri seorang khalifah sebagai ketua .

Untuk zaman kita, bolehlah kita katakan ia sebagai ciri-ciri seorang perdana menteri.

Menurut Al-Farabi terdapat 12 sifat utama yang perlu ada pada seorang ketua atau ketua negara.

Untuk tidak memanjangkan tulisan ini dan mengelak bersifat terlalu akademik, saya tidak akan mengulas dua belas sifat tersebut, sebaliknya hanya sebahagian saja.

Pertama, bagi Al-Farabi, individu terbabit perlulah sempurna tubuh badannya, tiada kecacatan yang boleh menghalang tugasnya memimpin.

Di sini kita lihat ada persamaan dengan saranan Abdul Hadi, walaupun tidaklah disebut had umur berapa dan berapa.

Janji sihat dan boleh memimpin, bukan terpaksa dipimpin.

Kedua, individu berkenaan haruslah memiliki kefahaman yang baik dan kemampuan untuk menangkap serta memahami maklumat dengan cepat.

Misalnya, apabila ditanya tentang isu cukai, dia mampu menjawab dengan tepat, berwibawa dan meyakinkan, bukan memberi jawapan yang tidak kena atau menyimpang jauh dari isu pokok.

Membahas isu pemandu teksi selepas ditanya tentang cukai, misalnya.

fe076509d6faadc64971049d9318d6d4

Ketiga, tokoh yang dicadangkan itu perlulah kuat daya ingatannya. Tidak mudah lupa terhadap perkara yang penting.

Perkara sepenting hadir sendiri atau tidak dalam pertemuan lembaga pengampunan, misalnya. Kalau detik sepenting itu pun boleh lupa, janganlah masih bersungguh-sungguh macam nak jadi perdana menteri lagi.

Keempat, cerdas dan bijaksana. Kelima, fasih berbicara. Keenam, cinta kepada ilmu.

Entah kenapa apabila melihat ciri keempat hingga keenam yang disebutkan oleh Al-Farabi itu, saya terbayang-bayang tokoh politik yang ada.

Cerdas, bijaksana dan fasih berbicara ini selalunya datang dalam satu pakej.

Kalau tidak cerdas, macam mana mahu fasih?

1150b48ce16d3a43ebb9c143470bb8d4

Dan menyentuh tentang aspek kefasihan berbicara, baru-baru ini ramai juga yang terkagum dengan kemampuan Perdana Menteri, Ibrahim, semasa menyampaikan ucapan dia Sidang Kemuncak Tergempar Negara Arab-Islam di Doha minggu lalu.

Dia mendapat pujian antarabangsa atas keberanian menyatakan kebenaran dan menyarankan tindakan tegas lagi praktikal dalam isu keganasan kemanusiaan oleh Israel.

Saya akan melangkau ciri-ciri yang ketujuh sehingga ke-11, dan akan mengakhiri tulisan ini dengan ciri ke-12 iaitu seseorang itu perlulah mempunyai keazaman yang kuat.

Dan pada hari ini, saya dengan seikhlasnya tidak nampak seorang pun ahli politik negara yang kerjanya, azamnya, lebih kuat ketimbang .

Tiada, walaupun seorang. Justeru, jangankan tiga atau empat lori!


NAJMUDDIN YUSOFF ialah peminat politik tanah air yang kini sering menghabiskan masanya bersendirian di kafe-kafe Doha, menghirup iced latte sambil tenggelam dalam Kindlenya. Sesekali, dia mengetuk-ngetuk pulasan dengan harapan ketukan itu sampai ke kepala yang mahu belajar berfikir.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.



Source link