Fungsi Battery Health, iaitu sebuah menu yang memperlihatkan kualiti semasa bateri peranti pintar anda sudah diperkenalkan pada sistem operasi Android 16 Beta 3 baru-baru ini, tetapi Google juga nampaknya sudah mengesahkan bahawa untuk peranti Google Pixel, ia hanya akan diperkenalkan pada peranti-peranti Google Pixel 8a dan siri Google Pixel 9 sahaja buat masa ini.
Dengan ciri Battery Health ini, pengguna boleh melihat peratusan jangkahayat bateri, untuk menilai bilakah mereka perlu menukar bateri peranti mereka. Tetapi seperti yang dilaporkan, ciri ini nampaknya hanya terhad kepada beberapa peranti terpilih buat masa ini, dan Google nampaknya tidak memberi sebarang penjelasan tentang mengapakah perkara ini berlaku.

Ia dijangka bahawa ciri ini akan diperkenalkan kepada peranti-peranti secara lebih meluas untuk versi Android 16 stabil kelak, tetapi buat masa ini, ia hanya terhad kepada mereka yang menguji sistem operasi Android 16 Beta terlebih dahulu. Buat masa ini ia tidak diketahui sekiranya peranti Google Pixel 8 dan Pixel 8 Pro akan disokong apabila ciri ini diperkenalkan melalui Android 16 secara rasmi.
Peranti Apple iPhone sudahpun hadir dengan fungsi Battery Health ini sejak sistem operasi iOS 11, dan ia disokong pada iPhone 6 yang dilancarkan pada tahun 2014.