Cip Grafik Intel Xe3 Diperkenalkan – Akan Digunakan Khusus Dengan Cip Komputer Riba Intel
Nazrin
Bersama-sama dengan pelancaran siri cip pemprosesan komputer riba Intel Panther Lake semalam, mereka juga telah mengumumkan kehadiran cip grafik terbaru mereka, iaitu Intel Xe3, yang mana orang ramai, termasuklah kami jangkakan adalah sebahagian daripada siri cip pemprosesan grafik generasi ketiga mereka, “Celestial“.
Akan tetapi Intel telah mengesahkan bahawa Intel Xe3 masih lagi menggunakan teras yang sama daripada siri cip pemprosesan grafik Intel Xe2 “Battlemage“, tetapi dengan sejumlah penambahbaikan yang memberinya prestasi sehingga 50% lebih tinggi berbanding dengan cip sebelumnya.

Cip pemprosesan Intel Xe3 akan hadir dalam dua konfigurasi teras, termasuklah 12 teras untuk model-model cip pemprosesan yang berprestasi tinggi, dan 4 teras untuk model-model cip pemprosesan yang lebih mampu-milik.
Setiap teras juga mengekalkan konfigurasi lapan teras Xe Vector untuk pengiraan aritmetik integer dan titik terapung, lapan enjin XMX untuk tujuan pemprosesan kecerdasan buatan dan satu teras Ray-tracing untuk gaming.

Intel mengatakan bahawa cip grafik Intel Xe3 kini lebih cekap dari segi penggunaan sumber teras dan membantu dalam menggunakan teras ini pada skala yang lebih besar di masa hadapan, khususnya untuk tujuan penggunaan dalam cip desktop ataupun pusat data kerana kemampuan memproses tugasan AI.
Intel juga telah mengesahkan bahawa cip grafik Xe3 hanya akan digunakan dalam siri cip komputer riba mereka untuk masa ini, sama seperti keputusan yang dibuat untuk hanya menggunakannya dalam cip pemprosesan Intel Lunar Lake sebelum ini.

Semua cip Intel Arrow Lake, termasuklah Arrow Lake-S untuk desktop dan Arrow Lake-H untuk komputer riba menggunakan cip pemprosesan Intel Xe generasi pertama. Setakat ini Intel tidak mengatakan apa-apa mengenai cip pemprosesan kelas desktop Arrow Lake Refresh ataupun Nova Lake.
Tetapi mungkin apa yang mahu diketahui ramai pengguna ialah adakah cip pemprosesan grafik baru yang terbina ini akan hadie dengan prestasi yang lebih baik untuk gaming berbanding dengan model sebelumnya.

Buat masa ini, Intel mengatakan ya, Xe3 akan hadir dengan prestasi yang lebih baik, tetapi mungkin bukan dengan cara yang anda akan jangkakan. Mereka mengetengahkan kecekapan penggunaan kuasa pada cip grafik Xe3 ini dengan mengatakan bahawa untuk tahap prestasi yang sama, Xe3 adalah 40 peratus lebih cekap dalam penggunaan kuasa bateri berbanding dengan cip grafik Xe2.
Jangkaiannya ialah cip Intel Xe3 akan hadir dengan prestasi olahan grafik yang lebih baik berbanding model sebelumnya, tetapi kecekapan penggunaan kuasa masih lagi diutamakan oleh pihak Intel.

Satu lagi pengumuman besar yang dibuat oleh Intel bersama-sama cip pemprosesan Intel Xe3 ialah berkaitan teknologi Multi-Frame Generation yang sudahpun mula digunakan oleh AMD dan NVIDIA didalam kad-kad grafik terkini mereka.
Intel juga akan memperkenalkan versi mereka sendiri yang dinamakan Intel XeSS-MFG, yang merupakan penaiktarafan kepada Intel Xe Frame Gen yang diperkenalkan melalui Intel XeSS 2 sebeum ini. Sama seperti teknologi multi-frame generation yang lain, ia membantu untuk menambahkan jumlah bingkai dalam permainan dan membolehkan ia digerakkan pada kadar bingkai yang lebih tinggi dan stabil.
Untuk maklumat lebih lanjut mengenai teknologi Intel Xe3 ini, jangkaan kami ialah kita akan perlu tunggu sehingga awal tahun hadapan apabila Intel melancarkan siri penuh siri cip pemprosesan Panther Lake mereka, yang mana mereka juga mungkin akan memperlihakan model Intel Core Ultra X.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






