Perdana Menteri, Anwar Ibrahim hari ini secara berseloroh mengatakan bahawa cinta ada pasang surutnya, ketika diminta mengulas mengenai hubungan “cinta tiga segi” antara PH, BN dan GRS.
Presiden PKR itu turut mengakui bahawa sukar bagi BN dan GRS untuk bekerjasama selepas perpecahan yang berlaku antara parti itu.
“Cinta tu, menyenangkan, kadang-kadang ada sedikit duka, tapi itu makna cinta,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri pertemuan bersama pimpinan PKR di Kota Kinabalu.
Meskipun berlaku ketegangan antara dua gabungan itu, Anwar berharap BN dan GRS dapat mengelakkan pertembungan dalam Pilihan Raya Negeri Sabah yang akan datang.
Katanya, keutamaan ketika ini ialah untuk mengelakkan pertandingan tiga penjuru yang boleh memecah undi blok kerajaan dan mengelirukan pengundi di Sabah.
“Fahaman kita buat masa ini adalah kita sedang cuba mencari jalan agar tiada pertembungan tiga penjuru. Tapi jika itu tidak dapat dielakkan, nasihat kita ialah supaya tidak menyertai pertarungan itu bagi mengelak perpecahan besar.
“Saya tidak mahu mendahului apa-apa kerana niat kita adalah untuk mencapai persefahaman penuh. Di sesetengah kawasan yang ada konflik, saya pasti masih ada ruang,”katanya.
Keretakan antara BN Sabah dan GRS bermula sejak Januari 2023, apabila Umno Sabah menarik balik sokongannya terhadap kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Hajiji Noor.
BN merupakan gabungan pertama yang mengesahkan kerjasama dengan PH di Sabah bagi menghadapi pilihan raya negeri, manakala GRS hanya mengesahkan hasrat bekerjasama dengan gabungan Anwar minggu lalu.