KOTA BHARU: Tindakan Mohd. Shukri Ramli melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Perlis mengajar pemimpin Pas erti jiwa besar dalam menghadapi gelombang ujian.
Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang itu membuktikan segala jawatan dan kedudukan bukan bertakhta di hati bukan untuk dipegang erat sebagai kemegahan.
“Buat sahabat seperjuangan ambo yang di kasihi YB Cikgu Mohd. Shukri Ramli. Sesungguhnya dirimu telah melepasi beban maha berat sebuah kepimpinan.
“Dirimu bukan meminta mahupun melobi di atas satu bebanan yang bakal dipersoalkan hebat di akhirat kelak. Terima kasih mengajar kami erti jiwa besar dalam menghadapi gelombang ujian,” katanya menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman sosial Facebook miliknya malam tadi.
Mohd. Nassuruddin memberitahu, walaupun dipisahkan hanya pada kedudukan dan pangkat namun persahabatan bersama bekas Menteri Besar Perlis itu kekal akrab dan utuh bersahabat di dalam sebuah jemaah yang dicintai.
“Bertemu dan berpisah kerana jalanNya. Semoga kita tidak menjadi hina disisi Allah dengan menyalahgunakan jawatan yang diperolehi hasil kepercayaan orang ramai.
“Berusahalah menunaikan tanggung jawab dengan bersungguh-sungguh kerana jawatan adalah suatu amanah. Moga terus istiqamah,” ujarnya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, Mohd. Shukri Ramli mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar berkuat kuasa semalam.
Surat peletakan jawatan tersebut dipersembahkan kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail tengah hari semalam.
Mohd. Shukri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang berkata, keputusan itu dibuat secara secara sukarela dan atas faktor kesihatan yang tidak mengizinkan.-UTUSAN





