Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) mengecam tindakan menyerang wartawan sukan Haresh Deol semalam dan menggesa polis menjalankan siasatan segera serta telus berhubung kejadian berkenaan.
Pengarah Eksekutif CIJ Wathshlah G Naidu (gambar judul) berkata serangan terhadap Timbalan Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) yang dilaporkan berlaku di Bangsar itu menimbulkan persoalan sama ada ia adalah serangan terancang berdasarkan tugas beliau sebagai wartawan.
“Semua pengamal media mesti diberi layanan penuh hormat dan dilindungi daripada sebarang ancaman yang boleh mendatangkan mudarat kepada diri dan orang di sekeliling supaya mereka dapat menyampaikan maklumat mengenai isu berkepentingan awam dengan berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wathshlah berkata CIJ berdiri teguh di belakang Haresh (gambar bawah), siasatan segera dan menyeluruh, serta tindakan terhadap pelaku penting untuk meningkatkan keyakinan wartawan dalam melaksanakan tugas mereka.

Terdahulu, Haresh, pengasas bersama portal berita TwentyTwo13 memaklumkan melalui hantaran di laman X bahawa beliau diserang dua lelaki ketika menuju ke keretanya, manakala seorang lagi individu merakam insiden itu menggunakan telefon bimbit.
Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Hoo Chang Hook, dalam kenyataan semalam memaklumkan polis sedang mengesan tiga lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian yang berlaku di Jalan Maarof berhampiran parkir sebuah pusat beli-belah, ketika Haresh sedang berjalan di kaki lima menuju ke Jalan Telawi.
– Bernama






