Lebih dua setengah tahun pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim, bekas presiden MCA Dr Chua Soi Lek memberi penilaian bercampur-campur mengenai prestasi kerajaan Madani – memuji tekad politiknya terhadap pembaharuan subsidi, namun mengkritiknya sebagai terputus hubungan dengan masyarakat dan komuniti perniagaan.
Chua memuji kerajaan kerana menunjukkan kesungguhan dalam menyusun semula mekanisme subsidi Malaysia yang telah lama wujud, walaupun terdapat risiko politik yang terlibat.
Dia mengimbas kembali bahawa semasa pentadbiran bekas perdana menteri Najib Razak – ketika Chua menjadi ahli Majlis Ekonomi Negara – kerajaan Barisan Nasional (BN) juga mempertimbangkan reformasi sedemikian tetapi akhirnya membatalkan rancangan itu.
“Mesyuarat yang dipengerusikan Najib membincangkannya beberapa kali, tetapi dia akhirnya menangguhkannya kerana pilihan raya umum (PRU) 2013 semakin hampir,” kata bekas menteri kesihatan berusia 78 tahun itu dalam wawancara podcast berbahasa Cina dengan Malaysiakini.
Episod podcast itu diterbitkan pada Jumaat lalu di YouTube, Spotify, dan Apple Podcast.
Sebaliknya, Chua berkata pentadbiran Anwar telah menunjukkan tekad politik untuk meneruskan penstrukturan semula – dan wajar mendapat pengiktirafan untuk hal berkenaan.
Dia juga memuji kerajaan Madani kerana meneruskan dan meningkatkan secara beransur-ansur bantuan tunai untuk kumpulan berpendapatan rendah, dan menyatakan kedudukan Malaysia yang lebih baik dalam kedudukan daya saing global – meningkat daripada 34 kepada 23 tahun lepas.
“Tetapi janganlah kita terlalu teruja,” dia memberi amaran. “Kita menduduki tempat ke-14 pada tahun 2015.”
Chua menambah bahawa kerajaan telah meningkatkan kutipan cukai, mengurangkan defisit fiskal negara, dan memperoleh penarafan kredit yang menggalakkan di peringkat antarabangsa.
‘Hilang sentuhan, komunikasi yang lemah’
Bagaimanapun, dia juga berkata penyampaian perkhidmatan dan kecekapan kerajaan tidak bertambah baik – dan di beberapa bahagian, telah merosot.
“Saya fikir kelemahan terbesar mereka ialah ketidakupayaan mereka untuk berkomunikasi dengan berkesan,” katanya.
“Orang ramai dari semua lapisan masyarakat – perniagaan, perusahaan, NGO – merasakan kerajaan ini tidak berhubung dengan rakyat biasa. Jika anda bertanya kepada ahli perniagaan di jalanan, mereka akan mengatakan kos menjalankan perniagaan terus meningkat. Saya pasti anda juga tahu perkara ini.
“Mereka merasakan kerajaan melayan ahli perniagaan seperti ATM. Golongan berpendapatan rendah masih mendapat bantuan, tetapi kelas pertengahan tidak mendapat apa-apa,” katanya.
Memetik dasar gaji minimum kerajaan, Chua berkata walaupun ia berniat baik, ia gagal menangani gaji pekerja yang lebih berpengalaman.
Dia juga mengkritik pelaksanaan berterusan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), dengan alasan bahawa Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang kini dimansuhkan adalah lebih telus dan adil.
“Kebanyakan orang tidak memahami perkara ini, kerana pada masa itu ia adalah mengenai menyanyikan lagu ‘ABCDGST’, bukan?” katanya.
Chua juga mengkritik kerajaan kerana meningkatkan hutang negara – berkata jumlah itu telah meningkat lebih RM200 bilion sejak Anwar memegang jawatan 30 bulan lalu.
Bagaimanapun, Anwar sebelum ini menyatakan kerajaan telah berjaya mengurangkan hutang tahunan kepada RM77 bilion pada 2024 daripada RM99 bilion pada 2022.
“Hutang baharu yang kerajaan buat (adalah) RM99 bilion pada 2022, turun kepada RM93 bilion pada 2023 dan pada 2024, jumlahnya adalah RM77 bilion… kuranglah tu.
“Mereka kata jumlah (hutang) keseluruhan yang lebih, masuk (sekali) dengan hutang lama dan bunga yang kita kena bayar tetapi saya kata kerajaan janji untuk kurangkan hutang baharu, itu kita telah tunaikan.
“Bagaimanapun, yang disebar sana sini, kita tambah (hutang), jadi seolah-olah kita menipu rakyat. Kalau lihat pada angka ini, siapa yang menipu?” kata Anwar yang juga menteri kewangan seperti dilaporkan media pada 21 Julai lalu.
Ringkasnya, Chua berkata walaupun kerajaan Madani telah memperkenalkan pembaharuan yang boleh menghasilkan faedah jangka panjang, ia tidak banyak membantu menangani kekecewaan orang ramai.
“Rakyat dan perniagaan menderita. Apa yang kerajaan lakukan untuk membantu mereka? Jika mereka tidak dapat menjawabnya, sukar untuk meyakinkan pengundi pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.
Pujian untuk Loke, kritik menteri DAP yang lain
Ketika ditanya mengenai menteri DAP, Chua sekali lagi menawarkan penilaian seimbang. Dia memilih Menteri Pengangkutan Anthony Loke untuk dipuji, tetapi menurutnya yang lain masih mempunyai ruang untuk diperbaiki.
“Loke bercakap berdasarkan fakta. Dia tidak bercakap kosong atau mempromosikan dirinya secara tidak perlu. Orang dalam kementeriannya memberitahu saya dia benar-benar bekerja keras. Dia berhak mendapat pujian.
“Bagi yang lain – tiada siapa yang memberitahu saya apa-apa, jadi saya akan membenarkan anda menilai sendiri,” katanya, dalam nada sarkastik.
Chua kemudian mengkritik seorang menteri DAP yang tidak dinamakan kerana mendakwa kementeriannya dipuji sebagai “berprestasi terbaik” di kalangan kementerian kerajaan.
“Tetapi jika anda bertanya kepada orang ramai, mereka akan mengatakan jabatan kerajaan secara amnya tidak cekap. Jadi menjadi nombor satu tidak bermakna,” katanya.
Walaupun Chua tidak menamakan individu itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming sebelum ini telah membuat dakwaan itu pada Januari.