Malaysia Oversight

Chua, Manivanan menang ketua cabang PKR dalam pemilihan semula

By MkiniBM in May 1, 2025 – Reading time 2 minute
Chua, Manivanan menang ketua cabang PKR dalam pemilihan semula


Rawang, Chua Wei Kiat, memenangi pemilihan cabang Selayang yang diadakan semula hari ini.

Chua memperoleh 1,945 undi berbanding 1,648 undi yang diterimanya dalam pemilihan pada 12 April lalu, memberikannya majoriti sebanyak 252 undi mengatasi pencabarnya, Wan Ibnul Bahar Wan Ismail. Manakala seorang lgi calon hilang kelayakan bertanding.

Sementara itu, Setiausaha Politik di Pejabat Presiden , Manivanan Gowin, memenangi jawatan ketua cabang Jempol dengan memperoleh 571 undi.

Pencabarnya, Muhammad Asri Abdullah memperoleh 229 undi, manakala seorang lagi calon, Mariappan Kattaiyan meraih 39 undi.

Keputusan pemilihan ketua cabang Jempol sebelum ini dibatalkan selepas pemenangnya, Azizah Salim Shah, didapati merupakan ahli parti lain.

Keputusan bagi jawatan Ketua Cabang dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Silam tidak berubah walaupun selepas diadakan pemilihan semula, dengan Romansa Lamin dan Muhammad Firdaus Chairlie mengekalkan kemenangan mereka.

Sebelum ini, Syafiq Iqhmal Saharudin, yang bertanding untuk kedua-dua jawatan tersebut, mendakwa namanya telah ditandakan sebagai “menarik diri” ketika pengundian dalam talian.

Satu sumber sebelum ini memberitahu Malaysiakini bahawa pemilihan semula di Selayang dan Silam diadakan kerana salah seorang calon didapati mempunyai rekod jenayah, yang menyebabkan mereka hilang kelayakan.

Pemilihan semula turut diadakan hari ini bagi jawatan Ketua Cabang Pasir Salak, Ketua Wanita Besut, serta Jawatankuasa Cabang Semporna.

Pemilihan peringkat cabang yang berlangsung antara 11 hingga 20 April sebelum ini dicemari dengan dakwaan manipulasi dan kecacatan prosedur, termasuk isu “badan tanpa kepala”.

Ia merujuk kepada keputusan luar biasa apabila calon ketua cabang kalah, sedangkan sebahagian besar atau semua ahli pasukannya menang.

Chua merupakan antara calon yang dilaporkan terkesan dengan fenomena tersebut.

Berikutan itu, Majlis Pimpinan Pusat PKR telah mengadakan mesyuarat pada 23 April lalu dan dipercayai membincangkan kebimbangan berkaitan pemilihan peringkat cabang.



Source link