Malaysia Oversight

Christina Perri pilih berpisah dengan suami

By Utusan in November 5, 2025 – Reading time 2 minute
Christina Perri pilih berpisah dengan suami


KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal antarabangsa, Christina Perri dilaporkan memfailkan penceraian terhadap suaminya, Paul Costabile di Mahkamah Tinggi Wilayah Los Angeles, Amerika Syarikat baru-baru ini.

Menurut laporan USA Today, keputusan tersebut dibuat berikutan perbezaan yang tidak dapat dipertemukan antara pasangan berkenaan.

Dalam permohonan itu, penyanyi yang popular dengan lagu A Thousand Years berusia 39 tahun berkenaan turut meminta hak jagaan fizikal dan sah bersama terhadap dua anak perempuan mereka, Carmella, 7, dan Pixie, 3, bagi membolehkan kedua-dua ibu bapa itu bergilir menjaga anak-anak.

Penyanyi itu juga memohon agar mahkamah mengesahkan pembahagian harta serta nafkah pasangan seperti yang termaktub dalam perjanjian pranikah.

Setakat ini, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Christina mahupun Paul berhubung permohonan penceraian tersebut.

Christina Perri dan Paul Costabile mula berkenalan pada 2013 ketika sesi temu bual sebelum menjalin hubungan percintaan tidak lama selepas itu.

Pasangan berkenaan kemudiannya mendirikan rumah tangga pada 12 Disember 2017 dan menyambut kelahiran anak pertama mereka sebulan kemudian.

Namun, mahligai yang dibina tidak selalunya indah.

Pada Januari 2020, penyanyi lagu Jar of Hearts itu mengalami keguguran ketika kandungan berusia 11 minggu.

Ujian berat itu berulang sekali lagi apabila pada Julai 2020, Christina melahirkan seorang bayi perempuan dalam keadaan tidak bernyawa yang diberi nama Rosie.

Nama anaknya itu turut diabadikan dalam album Songs for Rosie.

Anak kedua mereka akhirnya dilahirkan dengan selamat pada Oktober 2022. Christina dan Paul menyifatkannya sebagai ‘magical double rainbow baby girl’ selepas melalui dua kehilangan tragis sebelumnya.

Sepanjang tempoh perkahwinan mereka, pasangan itu tidak pernah terpalit dengan sebarang kontroversi, bahkan sering menjadi inspirasi peminat kerana kekuatan mereka menghadapi dugaan kehilangan anak.

Christina Perri mula meraih populariti selepas lagu Jar of Hearts (2010) mencatat jualan sebanyak 48,000 unit hanya dalam tempoh seminggu.

Setahun kemudian, dia diberi peluang menyumbangkan lagu untuk runut bunyi filem The Twilight Saga: Breaking Dawn – Part 1 (2011) yang melahirkan lagu hit A Thousand Years, kini menjadi lagu pilihan pasangan pengantin di seluruh dunia.





Source link