China Mewajibkan Bateri EV Tidak Boleh Terbakar dan Meletup Bermula 2026
Effi Saharudin
Kenderaan elektrik (EV) mempunyai isu apabila mula terbakar ia akan meletup. Bateri EV ialah komponen paling berisiko pada sebuah EV dengan pelbagai piawaian keselamatan diperkenalkan bagi mengelakkan ia daripada berlaku. Di China misalnya sudah wujud syarikat EV yang membangunkan teknologi melontar bateri keluar apabila berlaku kemalangan bagi mengelakkan kenderaan terbakar.

Pada 26 Disember lalu, Pentadbiran Negeri untuk Peraturan Pasaran telah meluluskan 294 piawaian kebangsaan baharu yang meliputi 13 bidang utama dengan ia sebahagian daripada pelan menaik taraf standard industri dan juga pengguna. Yang mendapat perhatian ialah piawaian keselamatan baharu untuk bateri EV dengan syarat “tiada api, tiada letupan”.
Piawaian baharu bateri EV ini akan berkuat kuasa Julai 2026 dengan ia perlu dipatuhi kenderaan elektrik baharu selepas tarikh tersebut. Kenderaan yang telah menerima kelulusan di bawah piawaian sebelumnya dijangka mengikuti aturan peralihan yang berbeza, yang biasanya berkuat kuasa sehingga 1 Julai 2027.
Dengan ini China ingin mengurangkan risiko kematian dan kecederaan disebabkan oleh kebakaran EV daripada berlaku di masa depan. Baru-baru ini juga China memperkenalkan arahan baharu mengharamkan pemegang pintu yang boleh disorokkan dan mewajibkan pembuka pintu mekanikal di luar serta dalam kenderaan EV. Ini berikutan insiden mangsa kemalangan mati selepas pintu tidak boleh dibuka kerana kegagalan sistem pintu elektrik sepenuhnya.






