China Gantung Halangan Export Sumber Nadir Bumi Ke Amerika Selama Setahun
Effi Saharudin
Presiden Trump dan Xi melakukan pertemuan di Korea Selatan minggu lalu dan hasilnya sebuah persetujuan perdagangan baharu telah dipersetujui antara Amerika Syarikat dan China. Antara agenda utama yang dibincangkan ialah mengenai halangan eksport unsur nadir bumi (REE) yang diperkenalkan oleh China ke pasaran global pada Oktober. Kini China bersetuju menggantung halangan eksport REE ini selama setahun.

Eksport unsur nadir bumi seperti galium, germanium, antimoni dan grafit kini kembali dibenarkan menerusi pengeluaran lesen umum. Penggantungan eksport oleh China dilakukan kerana REE mempunyai fungsi sekunder bagi tujuan ketenteraan seperti reaktor nuklear dan peluru berpandu. Ia adalah balasan kepada Amerika menghalang cip AI canggih dijual kepada China atas alasan yang sama.
Selain menggantung halangan eksport, China bersetuju menghentikan siasatan ke atas syarikat cip Amerika Syarikat yang didakwa melakukan perniagaan secara monopoli dan membeli gandum yang pembeliannya dihentikan sejak April. Amerika pula bersetuju mengurangkan kadar tarif beberapa produk China termasuk tarif timbal balas 100% yang diumumkan Trump.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






