China Dilaporkan Mengharamkan Import Cip NVIDIA H200
Effi Saharudin
Lain hari lain pula ceritanya mengenai import masuk cip NVIDIA H200 ke China. Hari ini Reuters melaporkan pihak berkuasa China memberitahu ejen kastam pengimportan cip NVIDIA H200 adalah diharamkan. Pada waktu yang sama pihak berkuasa memberitahu syarikat teknologi tempatan pembelian hanya boleh dilakukan sekiranya ia benar-benar perlu.
Hari ini juga kerajaan Amerika membenarkan eksport cip NVIDIA H200 ke China tetapi dengan syarat jumlah cip yang dijual adalah kurang daripada 50% yang dijual kepada syarikat tempatan. Cip H200 ialah penambahbaikan kepada cip H20 yang dihasilkan khusus untuk pasaran China. Prestasinya lebih rendah sebagai usaha memastikan kuasa kecerdasan buatan (AI) akan kekal milik Amerika syarikat dalam masa terdekat.

Muncul laporan sebelum ini sebanyak 2 juta cip H200 dipesan syarikat teknologi China sejak cip berasaskan senibina Blackwell ini diumumkan. Jualan hanya dibenarkan kerana NVIDIA sudah mula mengeluarkan platform senibina Rubin yang lebih berkuasa hanya beberapa minggu lalu.
Halangan import dikeluarkan oleh China besar kemungkinan adalah bagi menggalakkan syarikat tempatan membeli cip buatan syarikat dalam negara seperti yang ditawarkan Huawei. China membangunkan industri cip tempatan bagi mengelakkan diri bergantung kepada teknologi luar dan pada waktu yang sama mengelakkan sebarang halangan eksport tidak akan menjejaskan masa depan mereka.





