ChatGPT Memperkenalkan Ciri Perbualan Berkumpulan Untuk Memudahkan Kolaborasi
Aman
OpenAI hari ini hadir dengan ciri eksperimental terbaru mereka, iaitu sokongan perbualan berkumpulan pada ChatGPT. Dengan langkah ini, beberapa pengguna boleh berkolaborasi pada tetingkap yang sama.
Menggunakan ciri ini, ia dioptimasikan untuk tidak menganggu ketika pengguna sedang berbual atau berkomunikasi antara satu sama lain, dan hanya memberikan respon apabila “ChatGPT” disebut pada mesej. Ia juga dikatakan mampu berinteraksi berasaskan kepada konteks dalam perbualan kumpulan berkenaan.

Buat masa ini, OpenAI menawarkan ciri ini secara terhad di beberapa pasaran sahaja, termasuk Jepun, New Zealand, Korea Selatan dan Taiwan. Langkah pengenalan ini dijangka membawa kepada sejumlah kaedah penggunaan baharu untuk ChatGPT, selain mungkin turut menjadikan ia sebagai salah satu medium untuk komunikasi berkumpulan.
Untuk makluman juga, pihak Meta turut telah dalam proses memperkenalkan integrasi Meta AI di dalam WhatsApp, untuk tujuan lebih kurang sama.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






