CEO GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) Nasiruddin Mohd Ali dan tiga bekas akauntan syarikat itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini, atas 264 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM40.01 juta.
Nasiruddin, 66, menghadapi 109 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang berjumlah RM14 juta manakala bekas akauntan, Asmat @ Asmanira Muhamad Ramly, 44, berdepan 41 pertuduhan melibatkan wang berjumlah RM5 juta.
Mohd Khushairi Osman, 54, pula menghadapi 54 pertuduhan membabitkan sejumlah RM20.3 juta manakala Hamimah Yakub, 73, didakwa telah memindah dan menerima wang hasil aktiviti haram melibatkan 60 pertuduhan berjumlah RM710,000.
Keempat-empat mereka membuat pengakuan tidak bersalah berkenaan selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan bank sekitar Selangor antara tahun 2020 hingga 2024 melibatkan transaksi kepada beberapa pihak antaranya akaun bank milik GISBH Sdn Bhd, GISB Mart Sdn Bhd, GISB Travel and Tours Sdn Bhd, dan syarikat pusat jagaan kanak-kanak.
Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di bawah Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) Akta yang sama.
Sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.
Pada prosiding hari ini pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izham Mohd Marzuki, Megat Mahathir Megat Tharih Affendi dan P. Sangari manakala kesemua tertuduh diwakili Peguam Datuk Rosli Kamaruddin.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan masing-masing RM20,000 kepada Hamimah dan Asmanira manakala RM25,000 kepada Mohd Khushairi dengan kesemua mereka perlu mematuhi syarat yang ditetapkan.
Syarat berkenaan ialah penjamin berasal dari Selangor atau Kuala Lumpur, melaporkan diri pada awal minggu setiap bulan di Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Nasiruddin pula tidak diberikan sebarang jaminan memandangkan dia sedang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Sebutan semula kes bagi Hamimah dan Nasiruddin ditetapkan pada 6 Nov manakala Asmanira dan Khushairi pada 24 Nov.
Semalam, Hamimah mengaku tidak bersalah di mahkamah sama membabitkan sembilan pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM3.89 juta.
-Bernama