Memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sekolah lebih wajar berbanding membelanjakan wang untuk lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar, kata Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol.
Mordi menyuarakan kebimbangan berhubung pendedahan terbaru Kementerian Pendidikan bahawa program lencana Jalur Gemilang untuk pakaian seragam sekolah menelan kos sebanyak RM8.4 juta, berbanding hanya RM3 juta untuk pemasangan CCTV di beberapa sekolah berasrama terpilih.
Dia menggesa kerajaan menilai semula keutamaan perbelanjaan ini, serta melaksanakan pelan keselamatan yang lebih menyeluruh di sekolah.
“Sebagai seorang wakil rakyat, saya menghormati keperluan simbolik seperti lencana yang membentuk identiti pelajar.

“Namun, keutamaan sepatutnya diberikan kepada aspek keselamatan dan kesejahteraan pelajar yang menjadi asas suasana pembelajaran kondusif.
“Dalam keadaan negara berdepan isu keselamatan di sekolah seperti kes buli, pencerobohan luar, serta kebimbangan ibu bapa terhadap anak-anak mereka, pemasangan CCTV seharusnya diberikan keutamaan,” katanya.
Menurutnya, banyak sekolah khususnya di luar bandar masih tidak mempunyai infrastruktur keselamatan yang mencukupi.
Guru pula katanya tidak mampu memantau setiap sudut sekolah pada setiap masa.

“CCTV boleh membantu mengurangkan kes buli dan gengsterisme; mencegah pencerobohan luar; menyediakan bukti jika berlaku kejadian tidak diingini,” katanya lagi.
Selain CCTV, dia mencadangkan kerajaan turut mewajibkan pemasangan pagar keselamatan, mempertingkat rondaan, serta memperkukuh kerjasama dengan ibu bapa bagi meningkatkan tahap keselamatan pelajar.
Telus kontrak lencana
“Sistem keselamatan yang berkesan bukan sahaja dapat menghalang kejadian tidak diingini, malah memberi keyakinan kepada ibu bapa dan guru,” tambahnya.
Ahli parlimen itu turut menggesa lebih ketelusan dalam kontrak yang diberikan untuk projek lencana Jalur Gemilang kerana rakyat berhak tahu siapa penerima manfaat utama projek tersebut.

Dia menegaskan akan terus mendesak kerajaan supaya isu ini dibahas secara terbuka di parlimen, sambil mengingatkan bahawa pelajar tidak seharusnya menjadi mangsa keutamaan kerajaan yang tersasar.
Minggu lalu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengumumkan kerajaan membelanjakan RM8.4 juta bagi mendapatkan lencana Jalur Gemilang untuk diagihkan kepada lebih 5.14 juta pelajar di seluruh negara.
Katanya, peruntukan itu meliputi pelajar sekolah kerajaan, kolej matrikulasi, kolej Tingkatan Enam dan institut pendidikan guru, dengan setiap seorang menerima dua lencana percuma.
Fadhlina menjelaskan proses perolehan dijalankan oleh pejabat pendidikan negeri dan daerah serta institusi berkaitan melalui sistem ePerolehan, sama ada melalui tender atau sebut harga, bergantung pada peruntukan yang diterima.

Menurutnya, pemakaian lencana Jalur Gemilang merupakan usaha Kementerian Pendidikan untuk memupuk semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negara dalam kalangan pelajar, selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013–2025.
Sejak April tahun ini, kerajaan mewajibkan lencana Jalur Gemilang dipakai pada pakaian seragam sekolah – langkah yang menerima kritikan daripada pelbagai pihak.
Antara yang dibangkitkan termasuk beban kewangan tambahan, aspek praktikal dan risiko keselamatan daripada penggunaan lencana pin tersebut, serta isu ketelusan mengenai syarikat-syarikat yang terlibat dalam proses tender.
Pada Mac lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjawab kritikan dengan menegaskan bahawa isu itu tidak sepatutnya dipolitikkan, dan lencana tersebut akan diberikan secara percuma.
Sementara itu, pada pelancaran inisiatif berkenaan pada 21 April, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri berkata program ini boleh membantu mengelakkan kesilapan seperti reka bentuk bendera yang salah atau paparan bendera kebangsaan yang tidak wajar.