Pemeriksa dokumen dari Jabatan Kimia Malaysia memberitahu kepada Mahkamah Koroner di Kota Kinabalu bahawa beliau tidak merujuk satu nota yang ditulis pada sekeping kertas oleh Allahyarham Zara Qairina Mahathir, mengenai ibunya kepada pakar psikiatri untuk penilaian.
Nurul Atiqah Mohd Noh, 44, yang bertugas di Bahagian Pemeriksaan Dokumen, Pusat Analisis Sains Forensik, Jabatan Kimia Malaysia, Petaling Jaya, Selangor, menyatakan perkara itu ketika menjawab soalan daripada peguam Datuk Ram Singh, yang mewakili seorang remaja yang terlibat dalam kes buli si mati.
Ram: Merujuk kepada ekshibit Y9 (sekeping kertas), adakah anda telah membaca ayat berikut “ok aku harap sangat nanti di akhirat aku nda mahu jumpa kau… jangan kau cari aku, aku nda mau liat muka mu lagi.. pun aku kan terpaling salah di mata mu…baik kau nda payah lahirkan aku, kau bunuh ja aku.
Nurul Atiqah: Ya
Ram: Apabila anda membaca ini, adakah terlintas dalam fikiran anda untuk memaklumkan kepada pegawai penyiasat supaya merujuk kenyataan ini kepada pakar lain seperti pakar psikiatri? Nurul Atiqah: “Tidak”.
Nurul Atiqah turut menyatakan beliau perasan terdapat kesan kotoran pada sudut atas kanan helaian (Y9), dan tidak pasti jenis kotoran terbabit.
Ram: Sekarang, lihat pada ekshibit Y8 (helaian kertas yang lain)… Saya baca bahagian kandungan yang bertulis “Bismillah, saya Zara Qairina, ingin memutuskan persahabatan dengan…” bertarikh 5 Jan 2025. Adakah anda telah menganalisisnya? Nurul Atiqah menjawab “Ya”.
Ram: Apabila anda melihat kesan darah, adakah anda mencadangkan supaya ia dihantar kepada pakar kimia untuk dianalisis?
Nurul Atiqah: Ia dihantar ke bahagian forensik DNA terlebih dahulu sebelum dihantar kepada saya.
Selain itu, Nurul Atiqah turut memberitahu mahkamah bahawa beliau telah memeriksa sebuah buku latihan milik si mati.
Ram turut bertanyakan sama ada Nurul Atiqah telah menganalisis muka depan buku latihan berkenaan, yang mengandungi perkataan “pergi mati” tertulis di ruangan ‘Subjek’.
“Ya, saya sudah menganalisisnya,” jawab Nurul Atiqah.

Terdahulu, Nurut Atiqah memaklumkan bahawa pihaknya menerima 21 beg mengandungi empat buku nota, dua buku teks dan 15 keping kertas yang semuanya dikenal pasti sebagai milik si mati.
Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Dana Arabi Wazani, saksi berkata adalah mustahil untuk meniru tulisan tangan yang terdapat pada dua buku nota, 15 helai kertas serta dua buku teks milik pelajar itu.
Beliau berkata ini kerana tulisan tangan dalam dokumen-dokumen itu adalah banyak melibatkan pelbagai topik dan ditulis dalam tempoh yang panjang.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat persamaan dalam gaya penulisan, iaitu tulisan berbentuk bulat dengan pembentukan huruf yang jelas, jarak antara huruf yang seimbang, serta kedudukan huruf pada garisan atau halaman,” kata Nurul Atiqah.
Prosiding siasatan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan bersambung esok.
Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai. Pelajar Tingkatan Satu itu dimasukkan ke hospital berkenaan sehari sebelum setelah ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi.
Pada 13 Ogos, Pejabat Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan pihak polis.
Pada 8 Ogos, AGC mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Zara Qairina bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.
– Bernama