Calon-calon di dua daripada tiga cabang PKR yang terlibat dalam pemilihan semula menyambut baik keputusan tersebut, susulan aduan mereka terhadap dakwaan penyelewengan dalam pemilihan sebelum ini.
Di Selayang, Adun Rawang, Chua Wei Keat yang tewas dalam pertandingan tiga penjuru bagi jawatan ketua cabang, mengalu-alukan keputusan Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR (JPP) untuk mengadakan pemilihan semula.
“Ahli-ahli di Selayang menyambut baik keputusan ini sebagai satu peluang kedua yang dinantikan-nantikan oleh akar umbi,” kata Chua kepada Malaysiakini.
“Semangat di peringkat akar umbi semakin memuncak, dengan ramai yang sudah bersedia untuk turun habis-habisan sekali lagi bagi membuktikan bahawa sokongan terhadap pasukan kami adalah tulen dan kukuh,” tambahnya.
Chua enggan mengulas secara terperinci mengenai aduan yang membawa kepada pemilihan semula.
Namun Malaysiakini sebelum ini melaporkan bahawa keputusan pemilihan cabang PKR Selayang adalah antara yang digambarkan sebagai “badan tanpa kepala” — di mana calon ketua cabang tewas, tetapi kebanyakan ahli pasukannya menang.
Sementara itu, di Sabah, calon ketua cabang Silam, Mohd Syafiq Iqhmal Saharudin mendakwa dia dikeluarkan secara tidak sah daripada senarai undi, walaupun tidak pernah menarik diri daripada bertanding.
“Nama saya sendiri, sebagai calon yang sah, telah dikeluarkan daripada kertas undi semasa proses pengundian, dan saya dilabelkan sebagai ‘Calon Tarik Diri’ walaupun saya tidak pernah menarik diri, dan tiada sebarang notis penarikan diri pernah dikemukakan,” katanya.
“Apa yang lebih mengelirukan ialah JPP sebelum ini memaklumkan kepada semua calon bahawa setelah sistem pengundian dimulakan, nama calon tidak boleh dipadam atau diubah kerana ia telah dikunci dalam sistem blockchain untuk menjamin ketelusan dan integriti proses tersebut.”
Mohd Syafiq, yang turut bertanding jawatan ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) cabang itu, berkata beberapa perubahan masih berlaku pada hari pengundian — termasuk namanya dimasukkan semula selepas ia “hilang”, dan nama seorang lagi calon yang telah meninggal dunia dikeluarkan.
“Saya ingin mengingatkan JPP dan semua pihak berkaitan bahawa ini bukan sekadar isu teknikal. Ini menyentuh hak calon, hak pengundi, dan integriti demokrasi dalam parti,” tegasnya.
Pemenang masih ahli Pejuang
Di Negeri Sembilan, Naib Presiden PKR, Aminuddin Harun mengesahkan pemilihan semula akan diadakan di Jempol minggu ini, susulan pembatalan kemenangan calon ketua cabang, Azizah Salim Shah.

“Dia meletakkan jawatan sebagai ahli Pejuang selepas menang (Ketua Cabang Jempol) baru-baru ini. Apabila siasatan terperinci dibuat memang sah (ahli Pejuang), kita terpaksa keluarkan demi keselamatan parti,” kata Aminuddin, yang juga pengerusi PKR Negeri Sembilan.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PKR, Dr Zaliha Mustafa berkata notis rasmi akan dikeluarkan kepada cabang-cabang terlibat bagi melaksanakan pemilihan semula.
Ini susulan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat semalam, di mana Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh mengumumkan bahawa mana-mana ahli yang didapati mempunyai kaitan dengan parti lain ketika pencalonan akan hilang kelayakan dan pencalonannya terbatal.