Malaysia Oversight

Cadangan serap jawatan kontrak Kemas dibawa ke Belanjawan 2026

By Utusan in August 17, 2025 – Reading time 2 minute
Cadangan serap jawatan kontrak Kemas dibawa ke Belanjawan 2026


PASIR SALAK: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap cadangan menyerap kakitangan kontrak Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) ke jawatan tetap akan tersenarai dalam Belanjawan 2026.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, perkara itu masih di peringkat perbincangan dan akan diputuskan oleh Kabinet kerana membabitkan implikasi kepada agensi dan kementerian lain.

“Kita telah meminta supaya perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin kerana ada kemungkinan ia memberi faedah yang baik dan tidak menimbulkan polemik.

“Sebaik-baiknya dimasukkan dalam ucapan Belanjawan 2026,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Santunan Desa bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Kemas di Dewan Besar Bandar Baru Felcra Seberang Perak, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang; Pengerusi Komuniti Kemas Parlimen Pasir Salak yang juga Pegawai Khas Menteri Besar Perak bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Gajah, Khairul Azwan Harun dan Ketua Pengarah Kemas, Datuk Hanafiah Man.

Menurut beliau, pada asasnya, jawatan ‘contract of service’ di Kemas telah sedia ada, malah mereka turut mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Jelasnya, jika penjawatan kontrak diserapkan kekal, ia tidak melibatkan penjawatan baharu dan perbelanjaan tambahan malah akan menjadi penanda aras kepada jawatan kontrak lain menjadi jawatan tetap tanpa pencen.

“Insya-Allah kita akan meletakkan pegawai-pegawai kontrak Kemas ini di tempat yang lebih baik dan berusaha supaya jawatan ini akan dijadikan jawatan tetap.

“Bekerjalah sebaiknya dengan ikhlas dan amanah. Insya-Allah selagi kita berada di peringkat kementerian, kita akan lakukan yang terbaik,” katanya.

Media pada Februari lalu melaporkan bahawa Kemas dalam proses membawa cadangan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menyerap kira-kira 15,600 petugas kontraknya di seluruh negara kepada jawatan tetap. – UTUSAN

 





Source link