KANGAR: Pelaksanaan kereta kabel berkonsepkan lif di Bukit Chabang di sini bukan sekadar angan-angan, sebaliknya bakal direalisasikan sebagai tarikan baharu pelancongan di negeri ini.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, sebuah syarikat pelabur dari Kedah yang berpengalaman melaksanakan projek kereta kabel di Gunung Raya, Pulau Langkawi dan Bukit Bendera, Pulau Pinang telah menyatakan kesediaan merealisasikan perancangan itu.
Katanya, wakil syarikat terbabit juga telah membuat pembentangan berhubung cadangan pembinaan kereta kabel di bukit berkenaan.
“Pembinaan kereta kabel itu mungkin tidak seperti di Langkawi sebab bukit kita rendah, ia kena ambil dari seberang Timah Tasoh. Kita mungkin buat kaedah naik ke atas bukit itu seperti lif di mana kosnya juga lebih rendah.
“Kalau buat kereta kabel sepenuhnya kos terlalu tinggi, boleh mencecah sehingga RM40 juta. Sebab itu, kita pilih konsep lif yang lebih praktikal dengan kos belasan juta ringgit sahaja dan syarikat itu mampu melaksanakannya.
“Saya juga suruh dia (syarikat pelabur) itu masuk cepat (siapkan projek pembangunan rekreasi itu),” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Skim Kafalah Perlis di sini semalam.
Tambah Mohd. Shukri, syarikat pelabur tersebut juga optimis projek pembangunan rekreasi di Bukit Chabang berkenaan boleh siap dalam tempoh antara 18 hingga 24 bulan.
Katanya, Bukit Chabang sememangnya mempunyai keunikan tersendiri kerana tiupan angin yang konsisten sepanjang masa dan sesuai dijadikan kawasan tarikan pelancongan baharu dengan kemudahan kereta kabel tersebut.
“Keistimewaan Bukit Chabang ini ialah pengunjung boleh turun dua belah bukit, tidak seperti Gunung Jerai yang hanya satu arah. Jadi, dari segi rekreasi dan tarikan pelancongan, memang sesuai untuk dibangunkan,” katanya.
Mohd. Shukri berkata, sekiranya pelaksanaan itu direalisasikan, ia sekali gus dapat membantu merancakkan lagi sektor pelancongan di Perlis.
Katanya, selain kemudahan kereta kabel, Bukit Chabang juga sangat berpotensi untuk dibangunkan aktiviti paragliding disebabkan oleh faktor angin yang sesuai sepanjang masa.-UTUSAN