Malaysia Oversight

Cabaran Joran Selangor Gegar UPM – Wang tunai RM25,000 menanti

By Utusan in August 6, 2025 – Reading time 2 minute
joran


SERDANG: Kolam 1 dan 2 Bukit Ekspo, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang bakal menjadi medan pertarungan kaki pancing dari seluruh negara apabila Cabaran Joran 2025 akan diadakan pada Ahad ini, 10 Ogos 2025.

Lebih RM25,000 hadiah wang tunai keseluruhan menanti para pemenang dalam pertandingan ini yang dijangka sengit di tengah-tengah kehijauan landskap kampus UPM.

Tarikan utama acara ini ialah konsep “Hadiah Sapu Bersih”, di mana semua spesies ikan yang berjaya dinaikkan layak dipertandingkan – tiada yang pulang dengan tangan kosong jika rezeki mengena.

Pertandingan ini menjanjikan ganjaran lumayan, di mana juara membawa pulang RM10,000, naib juara RM3,000 dan tempat ketiga RM1,000. Lebih menarik, ranking hadiah turut disediakan sehingga ke tempat ke-100, menjadikan peluang menang terbuka kepada semua peserta.

Yuran penyertaan hanya RM70 untuk satu joran dua mata, tetapi pulangannya besar – termasuk cabutan bertuah tiga unit TV 32 inci, dan 500 helai t-shirt edisi khas untuk peserta terawal yang mendaftar.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UPM Holdings, Shahrulnizam Md. Sharif, pertandingan ini bukan sekadar sukan memancing.

“UPM bukan hanya pusat akademik, tetapi juga destinasi pelancongan hijau yang ideal untuk riadah seisi keluarga. Dengan ikan-ikan bersaiz mega dan suasana semula jadi yang menyegarkan, peserta bukan sahaja membawa pulang hadiah, tetapi juga kenangan berharga,”

“Majlis pelepasan ikan spesies baung turut diadakan di kedua-dua kolam sebagai penambahan kepada stok ikan sedia ada sempena acara yang akan berlangsung pada Ahad ini.” katanya.

Program ini dianjurkan oleh Lestari Events dan UPM Holdings, dengan sokongan penuh Tourism Malaysia, sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2025. Ia turut menjadi platform terbaik mempromosikan sukan memancing sebagai produk pelancongan domestik yang semakin mendapat perhatian.

Penganjur menyasarkan kehadiran sekitar 500 pemancing bagi memeriahkan lagi acara ini.

Antara spesies mega yang menjadi rebutan termasuk pacu seberat 13 kilogram, patin melebihi 11 kilogram, dan rohu sekitar 1.5 kilogram. Kolam ini turut dipenuhi ikan-ikan popular seperti toman, lampam, tilapia, tongsan, baung, lekor, jelawat, haruan dan peacock bass (PB) – menjadikan setiap balingan joran penuh debaran.


Pertandingan akan berlangsung dari pukul 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Pendaftaran dibuka pada Sabtu, 9 Ogos 2025, dari pukul 3 petang hingga pukul 7 malam, dan disambung pagi acara mulai pukul 6.30 pagi.

Untuk maklumat lanjut, layari Facebook Joran KL atau hubungi urus setia: Syukur (013-2667011), Jas (012-3554946), Ali (012-2846811)





Source link