Malaysia Oversight

‘Cabaran balu Daim terhadap Akta SPRM perlu penentuan Mahkamah Persekutuan’

By MkiniBM in August 21, 2025 – Reading time 2 minute
‘Cabaran balu Daim terhadap Akta SPRM perlu penentuan Mahkamah Persekutuan’


Cabaran undang-undang balu Daim Zainuddin, Na’imah Khalid, terhadap beberapa peruntukan dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 mempunyai merit dan memerlukan penentuan oleh Mahkamah Persekutuan.

Sehubungan itu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur K Muniandy mengketepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang pada 18 Feb lalu yang menolak permohonan Na’imah, dan membenarkan semakan terhadap keputusan mahkamah lebih rendah itu.

Menurut Muniandy, isu undang-undang yang dibangkitkan Na’imah bukan bersifat remeh atau penyalahgunaan proses mahkamah.

“Soalan-soalan ini mewakili cabaran penting terhadap suatu undang-undang, yang hasil kes ini bakal memberi kesan besar terhadap hak individu yang dipanggil sebagai saksi, termasuk pemohon (Na’imah) dalam siasatan SPRM.

“Ia juga akan mendefinisikan had kuasa negara di bawah undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Antara peruntukan yang dicabar termasuk Seksyen 36(2) dan 30(5) Akta SPRM, yang menurut Na’imah mewujudkan sekatan menyeluruh terhadap hak peribadinya sebagaimana dijamin Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan.

Hakim kemudian memerintahkan supaya permohonan itu dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk dirujuk semula kepada Mahkamah Tinggi, sebelum dihantar ke Mahkamah Persekutuan untuk penentuan isu perundangan tersebut.

Peguam Na’imah, Gurdial Singh Nijar, turut memohon agar kes itu dirujuk semula kepada hakim sama bagi mengelakkan perbezaan pandangan sekiranya didengar hakim lain.

Timbalan pendakwa raya Law Chin How berkata pihak pendakwaan tidak membantah permohonan itu, tetapi memaklumkan mereka akan merayu terhadap keputusan hakim.

Susulan itu, Muniandy membenarkan permohonan Gurdial, dan memaklumkan pihak pendakwaan boleh memohon penangguhan prosiding apabila kes itu kembali kepadanya nanti supaya rayuan dapat diteruskan.

Permohonan Na’imah pada awalnya difailkan di Mahkamah Sesyen di hadapan hakim Azura Alwi pada 29 Feb 2024, kerana ia berkait dengan pertuduhan jenayah yang dihadapinya di bawah Akta SPRM di mahkamah sama.

Dalam prosiding berasingan, Azura merekodkan arahan Mahkamah Tinggi dan membatalkan tarikh perbicaraan kes yang sepatutnya bermula pada 19 Nov.

Cabaran undang-undang terhadap Akta SPRM

Na’imah, 67, sebelum ini memohon Mahkamah Sesyen merujuk beberapa persoalan undang-undang ke Mahkamah Tinggi, melibatkan antaranya Seksyen 30(5) Akta SPRM dan Seksyen 32(3)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Namun, Mahkamah Sesyen menolak permohonan itu dengan alasan tiada merit, selain menyifatkan ia remeh, menyusahkan dan penyalahgunaan proses mahkamah.

Na’imah didakwa pada 23 Jan tahun lalu di Mahkamah Sesyen kerana gagal mematuhi notis SPRM untuk mengisytiharkan asetnya.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM10,000 jika sabit kesalahan.

Aset yang didakwa tidak didedahkannya melibatkan beberapa bidang tanah, hartanah dan kenderaan Mercedes-Benz.

Mengikut lampiran pertuduhan yang dibacakan di mahkamah, antara lapan hartanah itu, termasuk Menara Ilham di Kuala Lumpur, sebuah rumah di Bukit Tunku, Kuala Lumpur, serta enam bidang tanah – lima di Kuala Lumpur dan satu di Pulau Pinang.

Antara perkara lain yang didakwa tidak didedahkan adalah membabitkan dua syarikat iaitu Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd.



Source link