Malaysia Oversight

Cabaran balerina muda tangani cabaran lantai tari

By MkiniBM in November 8, 2025 – Reading time 3 minute
Cabaran balerina muda tangani cabaran lantai tari


Kecederaan buku lali yang dialami seorang balerina muda membuka mata tentang kepentingan menggunakan lantai latihan yang sesuai untuk bidang seni itu, khususnya jenis sprung floor yang lebih selamat untuk penari.

Tahun lalu, Alyson Ng Shu Qing, 14, cedera ketika menjalani latihan apabila dia tidak mendarat dengan kemas selepas melompat. Kesannya – buku lali remaja terbabit terseliuh. Lebih daripada itu, dia masih menanggung rasa sakit sehingga kini.

Bagaimanapun, Ng tidak menyalahkan studio atau tenaga pengajar, sebaliknya menganggap insiden itu sebagai pengalaman sekali gus pembelajaran yang penting buat dirinya.

Dia turut cuba memulihkan keadaan itu dengan rawatan fisioterapi, selain melakukan imbasan MRI dan terapi ais, namun setakat ini kecederaan itu masih belum pulih sepenuhnya.

“Saya dah buat rawatan fisioterapi dan ambil ubat tahan sakit, tapi doktor nasihatkan supaya saya berehat selama enam minggu,” ujarnya yang kini dalam tempoh pemulihan.

Ditemui Malaysiakini, Ng mengakui kecederaan itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada latihan dan prestasinya di pentas.

Ng berkata walaupun berdepan kecederaan dan tekanan latihan, semangatnya untuk terus menari tidak pernah padam.

cd6f9387904d268b67cd5f9471362f70

Menceritakan apa yang berlaku, Ng berkata, dia mula belajar menari balet seawal usia lima tahun, dan kini pembelajarannya berada pada tahap pertengahan dan asas lanjutan.

Dia juga berlatih dua kali seminggu di bawah bimbingan guru berpengalaman, Selina Yap, yang menjadi suri teladan (role model) buat remaja terbabit.

“Kadang-kadang rasa penat dan stres nak hafal langkah, tapi saya tetap teruskan sebab minat,” katanya.

Dia juga merupakan pemenang tiga pingat emas, anugerah Star Award, dan Top Scorer (Solo) Pre-Junior, menjadikan dia antara bakat muda negara yang menyerlah di pentas tempatan.

Pelaburan jangka panjang

Apabila ditanya jika berhasrat untuk meneruskan balet selepas menamatkan peringkat sekarang, Ng berkata, dia merancang untuk menamatkan tahap lanjutan, iaitu gred tertinggi di peringkat balet.

“Mungkin selepas itu, saya boleh mula menjadi pembantu guru balet dan memperoleh pengalaman bekerja dari situ,” katanya.

Sementara itu Pengetua Federal Academy of Ballet, Larry Lee, berkata pemilihan jenis lantai di tempat latihan memainkan peranan penting dalam keselamatan penari.

“Ramai yang tak tahu, lantai sprung dibina dengan kerangka kayu fleksibel yang boleh menyerap hentakan. Ini membantu mengurangkan tekanan pada buku lali dan lutut penari.

“Kita boleh uji sendiri — kalau lantai itu berbunyi ‘kosong’ semasa diketuk atau dilompat, itu tandanya ia menyerap hentakan,” jelasnya.

Dia yang juga anak kepada mendiang prima balerina negara, Lee Lee Lan, berkata lantai jenis harlequin dari United Kingdom – seperti yang digunakan di studionya – menelan kos kira-kira RM80,000 pada tiga dekad lalu.

77fe036643903f88dc9e77f4f8c34b6f

Namun ia dianggap sebagai pelaburan penting untuk keselamatan jangka panjang semua pihak.

“Bukan nak salahkan mana-mana studio, tapi kalau boleh, ibu bapa dan sekolah perlu lebih peka dengan jenis lantai yang digunakan,” katanya.

Larry turut berkongsi pandangan bahawa amalan penggunaan lantai sprung telah diperkenalkan di Malaysia oleh ibunya, Lee Lan, sejak lebih 30 tahun lalu.

“Arwah ibu saya yang bawa paiwaian itu dari UK. Semua studio balet di sana wajib guna lantai jenis ini. Ia membantu penari menari lebih selamat dan melompat dengan betul,” katanya.



Source link