BEIJING: Syarikat automotif China, BYD, kini mengatasi Tesla milik Elon Musk sebagai pengeluar kereta elektrik (EV) terbesar di dunia, menandakan kali pertama ia melepasi pesaing Amerika itu dari segi jualan tahunan.
Jualan Tesla menurun hampir 9 peratus pada 2025 kepada 1.64 juta yang dijual di seluruh dunia, menjadikannya tahun kedua berturut-turut penurunan penghantaran kenderaan itu.
Sebaliknya, BYD memaklumkan pada Khamis jualan kereta berkuasa bateri itu meningkat hampir 28 peratus tahun lalu kepada lebih 2.25 juta unit.
Tesla menghadapi tahun yang mencabar dengan penerimaan bercampur terhadap model baharu, kebimbangan terhadap aktiviti politik Elon Musk, serta persaingan yang semakin sengit daripada pengeluar China.
Jualan kereta Tesla merosot 16 peratus sepanjang tiga bulan terakhir 2025.
Penurunan itu sebahagiannya disebabkan pembatalan subsidi kerajaan yang sebelum ini membantu mengurangkan sehingga AS$7,500 (RM30,412) daripada harga sesetengah kereta elektrik bateri, hibrid plug-in atau kenderaan sel bahan api.
Penganalisis Wall Street baru-baru ini menurunkan anggaran jualan Tesla untuk 2026, menandakan prospek yang semakin suram.
Syarikat China seperti Geely, MG, dan BYD, yang kini merupakan pengeluar kereta elektrik terbesar di negara itu, memberi tekanan kepada pesaing Barat dengan menetapkan harga kenderaan mereka lebih rendah berbanding jenama terkemuka.
Oktober lalu, Tesla bertindak balas dengan melancarkan versi lebih murah bagi dua model terlarisnya di AS sebagai usaha untuk meningkatkan jualan.
Musk, yang diiktiraf sebagai lelaki terkaya di dunia, diberi tugasan untuk meningkatkan jualan Tesla dan nilai pasaran saham secara ketara dalam dekad akan datang bagi menjamin pakej gaji rekod dunia.
Perjanjian itu, yang diluluskan oleh para pemegang saham pada November, membolehkan beliau menerima bayaran sehingga AS$1 trilion (RM4 trilion).- BBC





