Butiran Siri Vivo X300 Mula Didedahkan – Turut Melepasi SIRIM Malaysia
Amy Maizuraa
Vivo dijadualkan melancarkan siri X300 di China pada 13 Oktober 2025 dan beberapa spesifikasi utama telah mula dikongsi menjelang pelancaran rasmi.

Siri X300 akan dilengkapi cip pemprosesan imej VS1 yang dibangunkan oleh Vivo untuk meningkatkan ketepatan paparan dan kejelasan rakaman. Ia juga menampilkan sensor kamera utama ZEISS 200MP yang menyokong imej berdefinisi tinggi bagi fotografi potret dan landskap.
Peranti juga menyokong sistem LED dengan keupayaan zum pada pelbagai jarak fokus dan membolehkan pencahayaan disesuaikan mengikut situasi. Untuk rakaman video, ia menawarkan resolusi 4K120FPS bersama sokongan Dolby Vision bagi menghasilkan visual yang terang dan mempunyai julat warna serta kontras yang seimbang.

Dari segi prestasi, peranti ini menggunakan cip Dimensity 9500 hasil kerjasama dengan MediaTek dan dibina berasaskan seni bina Blue Crystal. Cip ini direka untuk menawarkan kecekapan tenaga tinggi serta prestasi stabil bagi penggunaan aplikasi berat.

Peranti ini turut menjalankan sistem operasi OriginOS 6 dengan antara muka baharu yang menawarkan penambahbaikan dari segi kelancaran animasi, pengurusan sumber dan aplikasi tanpa menjejaskan asas pengalaman Android sedia ada. Sistem ini juga dijangka menggantikan FuntouchOS untuk versi global.

Tidak ketinggalan, Vivo X300 hadir dengan ketebalan 7.95mm yang menawarkan keseimbangan antara keselesaan dan reka bentuk. Di Malaysia, peranti ini turut ditemui tersenarai di laman persijilan SIRIM dan menandakan pelancarannya berkemungkinan besar akan berlaku dalam masa terdekat.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






