Butiran Cip Intel Core Ultra X7 358H Tertiris – Akan Menguasakan ASUS ROG Zephyrus G14
Nazrin
Beberapa minggu lepas, Intel telah mengumumkan kewujudan siri cip pemprosesan Intel Core Ultra 300 untuk komputer riba, atau dikenali sebagai Intel Panther Lake. Tidak banyak butiran yang diketahui mengenainya, tetapi Intel mengatakan bahawa ia akan merangkumi keseluruhan penawaran komputer riba kelak.
Apa yang juga telah tertiris sebelum ini ialah pengenalan model cip pemprosesan Intel Core Ultra X, yang dijangka akan hadir dengan penawaran prestasi lebih berkuasa, memori lebih banyak dan kemampuan grafik terbina yang lebih hebat.
Terkini, terdapat satu lagi penirisan maklumat berkaitan salah satu CPU tersebut, iaitu Intel Core Ultra X7 358H. Maklumat ini tertiris melalui skor Geekbench untuk komputer riba gaming ASUS ROG Zephyrus G14, yang dijangka akan dikuasakan cip pemprosesan ini.
Butiran yang diperlihatkan juga cukup menarik, seperti jumlah teras, iaitu empat teras Performance dan 12 teras Efficiency yang terdiri daripada lapan teras Efficiency utama dan empat teras Low Power Efficiency.

Menurut tangkapan layar tersebut juga, cip pemprosesan in hadir dengan kelajuan turbo boost sehingga 4.8GHz. Ini mungkin angka awal, kerana ada sahaja cip pemprosesan komputer riba yang boleh mencapai kelajuan lewah jam 5.0GHz.
Tetapi apa yang lebih menarik bagi kami ialah cip pemprosesan grafik Intel Xe3 yang akan dipadankan bersama-sama cip pemprosesan ini. Ia hadir dengan 12 teras Intel Xe3 dan akan berkongsi sebanyak 16GB memori terbina. Beberapa laporan turut mengatakan bahawa cip grafik ini mungkin mempunyai prestasi yang menyerupai sebuah kad grafik Intel Arc A550 kelas desktop, dengan penggunaan kuasa elektrik yang lebih rendah.
Intel dijangka akan memperkenalkan butiran lanjut berkenaan siri cip pemprosesan Core Ultra 300 (Panther Lake) mereka di acara CES 2026 kelak.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






