Malaysia Oversight

Buruh binaan didakwa bunuh sepupu isteri

By MkiniBM in October 30, 2025 – Reading time 1 minute
Buruh binaan didakwa bunuh sepupu isteri


Seorang buruh binaan didakwa di Mahkamah Majistret Tumpat hari ini atas pertuduhan membunuh sepupu isterinya pada Jumaat lalu.

Hamizi Hamzah, 45, mengangguk faham terhadap pertuduhan itu di hadapan majistret Wan Ashrul Afhan Mohamad Azmi, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kesalahan bunuh berada bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.

Lelaki terbabit didakwa membunuh Mohd Shuhairi Hasim, 46, di hadapan sebuah rumah di Kampung Kok Bedollah, Tumpat pada jam 11.20 malam, 24 Okt lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun dan 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya Nazuha Ismail, manakala Hamizi tidak diwakili peguam.

Di mahkamah sama, lelaki terbabit juga mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan dadah metamphetamine di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik pada Sabtu lalu.

Bagi pertuduhan itu, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret menetapkan sebutan semula dua kes itu pada 28 Jan 2026.

Pada 25 Okt lalu polis mengesahkan seorang lelaki tempatan selepas ditetak bertubi-tubi menggunakan sebilah parang.

Bernama



Source link