Malaysia Oversight

Bunuh, tidur dengan mayat: Mahkamah kekalkan hukuman

By MkiniBM in April 30, 2025 – Reading time 2 minute
malaysiakini logo


Mahkamah Persekutuan di hari ini mengekalkan sabitan, hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan terhadap seorang pekerja sambilan yang membunuh rakannya sebelum tidur bersama mayat tersebut selama empat hari.

Panel tiga hakim diketuai Nallini Pathmanathan yang bersidang bersama Nordin Hassan dan Hanipah Farikullah menolak rayuan Mohd Azhud Ibrahim terhadap sabitan dan hukumannya.

Menyampaikan keputusan, Nallini berkata, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Mohd Azhud, 33, mengemukakan rayuan bagi keputusan Mahkamah Rayuan tahun lepas yang mengekalkan sabitan atas kesalahan membunuh namun menggantikan hukuman mati kepada penjara seumur hidup dan 12 sebatan.

Mengikut fakta kes, seorang rakan yang melawat rumah Mohd Azhud terhidu bau busuk dan menyoalnya, membuatkan tertuduh mengakui terdapat mayat di dalam rumah.

Semasa memberi keterangan di mahkamah, rakannya itu menyatakan Mohd Azhud memberitahunya: “Saya sudah lama marah padanya. Saya kecewa.”

Dalam keterangan dari kandang tertuduh, Mohd Azhud mendakwa dia bertindak demikian untuk mempertahankan diri semasa bergaduh dengan Ahmad Azam Ahmad, 43, dengan menggambarkan rakannya itu seorang yang agresif.

Selepas kejadian, Mohd Azhud berkata dia mengambil ganja dan tidur selama dua hari sebelum terjaga dan mendapati mangsa tidak memberikan sebarang reaksi.

Oleh kerana tidak mampu menguruskan mayat, katanya, dia mengakui telah tinggal bersama mayat itu.

Laporan bedah siasat mendapati terdapat 23 kecederaan luaran dan trauma teruk pada kepala serta dada mangsa.

Dalam prosiding di Mahkamah Persekutuan hari ini, peguam Gurbachan Singh yang mewakili Mohd Azhud berkata, tertuduh patut dibebaskan daripada dakwaan membunuh kerana tiada bukti keadaan menunjukkan secara jelas kesalahan anak guamnya.

Dia juga menyebut tentang ketiadaan saksi mata kepada kejadian tersebut.

Pihak pendakwaan diwakili timbalan pendakwa raya Mohd Fairuz Johari mengakui tiada saksi mata hadir namun berkata, bukti keadaan yang ada amat kukuh.

Dia berkata tertuduh adalah satu-satunya individu dilihat berada di dalam rumah bersama mayat mangsa dan polis telah menemukan beberapa barang yang mempunyai kesan darah, termasuk senjata, berdasarkan maklumat diberikan tertuduh.

Bernama



Source link