WASHINGTON: Beberapa individu dilaporkan jatuh sakit selepas membuka bungkusan mencurigakan yang dihantar ke pangkalan operasi pesawat rasmi Presiden Amerika Syarikat (AS), Air Force One, di Pangkalan Bersama Andrews (JBA), di Maryland.
Jurucakap JBA berkata, bangunan tempat bungkusan itu dibuka dikosongkan, manakala mereka yang terjejas kini berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan perubatan.
Menurut laporan CNN yang memetik sumber penyiasatan, bungkusan tersebut mengandungi serbuk putih yang masih belum dikenal pasti.
JBA merupakan pangkalan udara utama Presiden AS, menempatkan Air Force One dan pesawat sokongan lain, serta menjadi lokasi berlepas rasmi bagi setiap perjalanan presiden.
Jurucakap JBA berkata, bangunan di mana bungkusan itu dibuka serta yang bersambung dengannya dikosongkan sebagai langkah berjaga-jaga, termasuk kawasan sekitar turut dipagar.
“Pasukan kecemasan dihantar ke lokasi, mendapati tiada ancaman segera, dan operasi biasa disambung semula. Siasatan sedang dijalankan,” katanya.
Menurut CNN, ujian awal oleh pasukan Hazmat tidak menemukan sebarang bahan berbahaya dalam bungkusan tersebut.
Laporan itu juga berkata, penyiasat sedang meneliti propaganda politik yang disertakan dalam bungkusan.
Setakat ini, tahap atau jenis penyakit yang dialami oleh mereka yang berada berhampiran bungkusan ketika ia dibuka masih belum diketahui.- BBC






