Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin menafikan penglibatan secara langsung dalam pelaburan RM150 juta Felcra Berhad ke dalam unit amanah Public Mutual pada 2015, selain menandatangani dokumen rujukan Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).
Tampil membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah hari ini, Bung berkata cadangan pelaburan itu dikendalikan oleh ketua pegawai kewangan syarikat ketika itu Azmy Abdul Samah dan jabatannya.
Dia seterusnya berkata, Azmy telah mengemukakan cadangan pelaburan itu dalam mesyuarat pada 24 November 2014, di mana dia telah mencadangkan agar Felcra melabur dalam pengurusan tunai, simpanan tetap dan unit amanah bernilai RM300 juta.
“Saya hanya menasihatkan dia (Azmy) supaya membawa kertas cadangan itu kepada mesyuarat lembaga pengarah sekiranya dia atau jabatannya percaya ia akan memberi manfaat kepada Felcra.
“Lembaga pengarah kemudiannya telah menyoal Azmy (pada mesyuarat 24 Nov) mengenai risiko pelaburan dan mereka berpuas hati dengan penjelasannya,” katanya ketika membacakan kenyataan saksinya di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Rosli Ahmad.
Dia menambah bahawa syarikat itu kemudian menghubungi ejen Public Mutual Norhaili Ahmad Mokhtar untuk penjelasan lanjut mengenai pelaburan itu, yang diikuti dengan keputusan kolektif lembaga pengarah untuk Azmy meneruskan cadangan itu kepada MOF Inc sebelum membuat sebarang pelaburan.
Dokumen cadangan pelaburan itu, katanya, disediakan oleh Azmy dan dibantu pegawainya, yang kemudiannya menandatangani dokumen untuk dirujuk kepada Menteri Kewangan II ketika itu dan kelulusan bagi pelaburan RM100 juta hingga RM150 juta.
“Pada 23 April 2015, MOF Inc memaklumkan saya, melalui sepucuk surat, bahawa mereka tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap cadangan itu dan memerlukan lembaga pengarah Felcra untuk memastikan pengurusan dapat melaksanakan pemantauan berterusan terhadap prestasi pelaburan.
“Ini bagi memastikan pengurangan risiko dapat dilaksanakan lebih awal, sekiranya berlaku kemerosotan ketara dalam pasaran ekuiti,” katanya.
Bagaimanapun, Bung berkata, dia telah bertemu dengan Azmy dan Norhaili, pada 4 Mei tahun yang sama, di Hotel Intercontinental di mana Norhaili memaklumkan kepadanya bahawa Public Mutual tidak dapat meneruskan permohonan pelaburan Felcra berikutan beberapa dokumen yang tidak mematuhi spesifikasi agensi unit amanah dan Suruhanjaya Sekuriti.
“(Berikutan ini), saya memaklumkan kepada Azmi supaya menyediakan dokumen yang diminta (kepada ejen Public Mutual), iaitu minit mesyuarat lembaga pengarah yang berkaitan dengan permohonan pelaburan.
“Saya (juga) menasihatkan Azmy supaya menyediakan dokumen dengan butiran yang tepat dan konsisten dengan apa yang diputuskan oleh lembaga dalam mesyuarat mereka dan mengikut surat kelulusan MOF Inc (dan) saya beredar selepas itu. Ia adalah mesyuarat ringkas.”
Dia kemudian menegaskan bahawa dia tidak pernah mengarahkan Azmy secara langsung berhubung pelaburan itu, dan tidak mempunyai sebarang pengetahuan langsung tentang apa yang berlaku di luar cadangan yang dibentangkan oleh Azmy dalam mesyuarat lembaga pengarah.
“Saya (juga) tidak pernah membincangkan sebarang bayaran atau yuran pengenalan (dengan Azmy dan Norhaili pada mesyuarat itu),” katanya.
Bagi menyokong hujahnya, Bung juga menegaskan dia tidak pernah meminta rasuah daripada Norhaili atau rakan niaganya Madhi Abd Hamid, seperti keterangan oleh kedua-dua mereka, secara bersumpah, semasa kes pendakwaan.
Bung, 66, membela diri terhadap tiga pertuduhan menerima rasuah RM2.8 juta daripada Norhaili dan Madhi, untuk mendapatkan kelulusan Felcra bagi melabur RM150 juta dalam dana unit amanah Public Mutual.
Isterinya, Zizie Izette A Samad didakwa bersubahat dengannya, dan turut diperintahkan membela diri terhadap pertuduhan itu.