Presiden Bersatu merangkap pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin menggesa kerajaan menggubal segera Rang Undang-Undang Anti-Buli susulan kematian pelajar, Zara Qairina Mahathir.
Katanya, insiden buli yang membawa kepada kecederaan atau kematian pelajar tidak boleh dipandang ringan dan tidak wajar dibiarkan berakar menjadi budaya di sekolah serta institusi pengajian tinggi.
“Saya mengambil maklum keputusan Jabatan Peguam Negara untuk mempercepatkan inkues berhubung kematian adik Zara Qairina Mahathir. Inkues ini hendaklah dijalankan secara telus, menyeluruh dan berpaksikan undang-undang demi mencari kebenaran dan keadilan.
“Insiden buli yang menyebabkan kecederaan dan kematian pelajar tidak boleh dipandang ringan.
‘Malah ia tidak harus dibiarkan menjadi budaya terutamanya di sekolah dan institusi pengajian tinggi di negara kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Muhyiddin, hanya dengan adanya Akta Anti-Buli, kerangka undang-undang serta dasar yang jelas dapat dilaksanakan pihak berkuasa untuk melindungi pelajar daripada tindakan penganiayaan fizikal atau emosi.
“Tindakan undang-undang yang tegas hendaklah diambil untuk memastikan kejadian menyayat hati ini tidak berulang.
“Dengan adanya Akta Anti-Buli, kerangka undang-undang dan dasar yang jelas boleh dilaksanakan oleh pihak berkuasa untuk melindungi pelajar daripada tindakan penganiayaan sama ada berbentuk fizikal atau emosi yang menjejaskan keselamatan diri dan nyawa,” katanya.
Muhyiddin turut menyifatkan masalah buli sebagai “gajah dalam bilik” yang masih berleluasa, khususnya di sekolah berasrama.
“Kita mesti bersama-sama memerangi budaya buli yang saya percaya masih berleluasa pada masa ini. Ia umpama gajah di dalam bilik terutamanya di sekolah-sekolah berasrama.
“Jangan kita biarkan amalan buruk dan jahat yang menjejaskan keselamatan dan nyawa anak-anak ini berterusan,” katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin menzahirkan doa dan simpati kepada keluarga Zara Qairina agar terus tabah menghadapi dugaan besar kehilangan insan tersayang.

Remaja itu disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah, pada 17 Julai selepas dimasukkan ke hospital, setelah dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar pada empat pagi, 16 Julai.