Malaysia Oversight

Buktikan M’sia junjung undang-undang, kata Putra

By MkiniBM in November 11, 2025 – Reading time 2 minute
Buktikan M'sia junjung undang-undang, kata Putra


Putra menganggap nilai pampasan yang berbeza bagi isu kehilangan pastor Raymond Koh dan Amri Che Mat baru-baru ini sebagai menjejaskan maruah keadilan negara.

Presiden Putra, Ibrahim Ali, berkata asas bagi sesebuah negara yang bermaruah ialah nyawa setiap rakyatnya tidak boleh dinilai dengan harga yang berbeza.

Dalam kes melibatkan paderi dan Amri tersebut, katanya, mahkamah mendapati pasukan keselamatan negara gagal memberikan perlindungan kepada mereka.

Kata Ibrahim, dengan ketetapan itu negara bertanggungjawab dalam kedua-dua kes, justeru nilai pampasan juga mesti bergerak atas prinsip yang sama.

“Tetapi hari ini, kita melihat jurang yang mencarik maruah keadilan. Keluarga Amri hanya menerima sekitar RM3.26 juta manakala keluarga Koh menerima lebih RM37 juta serta pembayaran harian berterusan.

“Persoalannya bukan sekadar angka. Yang sedang dipersoalkan ialah apa maksud adil dalam negara ini?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ibrahim lagi, nyawa setiap rakyat negara ini tetap sama, tidak dibezakan oleh kelas, agama, kedudukan sosial atau berkasta-kasta.

Oleh itu, katanya, Jabatan Peguam Negara (AGC) mesti mengemukakan rayuan agar pampasan kepada keluarga Amri disemak semula dan disamakan dengan kadar diterima keluarga Koh.

“Bukan lebih rendah, bukan lebih tinggi, tetapi adil,” katanya.

Selain itu Ibrahim juga menuntut agar kabinet tidak berdiam diri sebaliknya menyatakan pendirian sama ada Malaysia mengiktiraf kesaksamaan nyawa rakyatnya, atau memilih untuk membiarkan jurang itu kekal sebagai luka yang terbuka.

Kata Ibrahim, sistem keadilan mesti bersih daripada tafsiran selektif.

“Jika dua kes dengan asas penghakiman yang sama membawa pampasan yang terlalu jauh berbeza, maka rakyat akan mempersoalkan: undang-undang ini betul-betul adil atau hanya adil kepada sesetengah orang?

“Kalau keputusan ini dibiarkan, maka negara sedang menghantar mesej yang sangat bahaya (iaitu) nilai nyawa rakyat Malaysia boleh berubah mengikut siapa dia, apa agamanya, dan sejauh mana kisahnya mendapat perhatian masyarakat.

“Itu bukan negara berdaulat. Itu bukan negara hukum. Itu pengkhianatan terhadap perlembagaan keadilan,” katanya.

Pada masa sama menurut Ibrahim, Putra bertegas apa yang dibangkitkan itu bukan melibatkan aspek agama sebaliknya persoalan menjaga maruah setiap rakyat.

“Sama ada AGC akan merayu atau tidak terhadap 2 kes ini, terpulang pada AGC. Apa pun, pampasan mesti disamakan kerana kedua-dua nya hilang.

“Jika benar Malaysia negara yang menjunjung undang-undang, buktikan sekarang,” katanya.



Source link