Malaysia Oversight

‘Bukan kes rogol berkumpulan di sekolah, tapi seks bawah umur’

By MkiniBM in October 16, 2025 – Reading time 3 minute
‘Bukan kes rogol berkumpulan di sekolah, tapi seks bawah umur’


Ketua Polis Kedah, Adzli Abu Shah hari ini tampil menjelaskan bahawa kes rogol melibatkan seorang pelajar di sebuah sekolah berasrama di Baling, Kedah, bukan kes rogol beramai-ramai seperti yang tular di media sosial.

Katanya, meskipun perbuatan itu dilakukan atas kerelaan kedua-dua pihak, namun mangsa masih bawah umur dan tidak dianggap cukup matang untuk memahami akibat tindakan tersebut.

Adzli berkata siasatan mendapati mangsa — seorang remaja bawah umur — telah melakukan hubungan seks dengan empat suspek secara berasingan, termasuk di dalam kelas kosong, ladang kelapa sawit, dan di rumah mangsa sendiri.

“Walaupun perbuatan itu dilakukan atas kerelaan kedua-dua pihak, mangsa masih bawah umur dan tidak dianggap cukup matang untuk memahami akibat perbuatan tersebut,” katanya yang dpetik oleh New Straits Times, hari ini.

Justeru, tegasnya, kes tersebut diklasifikasikan sebagai rogol statutori.

Menurut ketua polis Kedah itu, video yang dirampas daripada telefon suspek tidak menunjukkan remaja berkenaan dirogol, namun memaparkan aksi tidak bermoral lain yang turut melibatkan mangsa.

Dia juga mengesahkan bahawa salah seorang daripada suspek, berusia 17 tahun, ialah teman lelaki mangsa.

Tambahnya, polis tidak menemui sebarang bukti bahawa video-video itu dijual, sebaliknya hanya dikongsi antara pihak terlibat, termasuk oleh mangsa sendiri.

Beberapa telefon bimbit, termasuk milik mangsa, telah dirampas bagi membantu siasatan.

“Kes ini mencerminkan kurangnya kematangan dalam kalangan remaja. Ibu bapa perlu lebih peka dalam memantau penggunaan gajet dan media sosial anak-anak.

“Polis tidak boleh memainkan peranan itu di dalam rumah tangga. Pemantauan ibu bapa sangat penting,” katanya.

Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana rogol dan Seksyen 8 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 berkaitan penyebaran bahan pornografi melibatkan kanak-kanak.

“Walaupun ia dilakukan secara rela, kerana melibatkan individu bawah umur, ia tetap dikategorikan sebagai rogol statutori.

“Kredit harus diberikan kepada guru disiplin sekolah yang segera memaklumkan kepada ibu bapa mangsa, membolehkan laporan polis dibuat tanpa kelewatan,” kata Adzli lagi.

Sementara itu, mengulas kes berkenaan sebelum penjelasan polis, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek hari ini berkata masyarakat berdepan dengan “kebejatan sosial yang kian meruncing”.

“Saya berkongsi rasa dengan seluruh rakyat – marah, sedih dan kecewa dengan apa yang berlaku. Semua kejadian yang berlaku bukan kebetulan.

“Betapa kita sedang berhadapan dengan kebejatan sosial yang kian meruncing.

“Ia menuntut kita untuk bersama-sama berusaha menangani masalah ini demi masa hadapan anak-anak kita,” katanaya dalam satu hantaran di Facebook.

Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah telah memulakan proses siasatan dalaman dan akan mengambil tindakan tegas buang sekolah terhadap semua pesalah yang terlibat dalam kes rogol serta penyebaran video kelakuan tidak senonoh di sebuah sekolah di negeri itu.

Kenyataan JPN Kedah hari ini memaklumkan bahawa jabatan itu mengambil serius kes berkenaan.

“JPN Kedah telah mula mengambil tindakan. Kes ini sedang berada dalam siasatan polis dan semua suspek telah ditahan reman. JPN Kedah memberi kerjasama penuh terhadap siasatan yang sedang berjalan.

“Tindakan segera juga telah diambil untuk memberi bantuan kepada mangsa dan tumpuan utama ketika ini adalah untuk memastikan kesejahteraan mangsa diberi perhatian,” menurut kenyataan itu.

Menurut JPN Kedah, Kementerian Pendidikan tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku seksual di institusi pendidikan dan sedang berusaha untuk menambah baik setiap aspek bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan seluruh warga pendidikan.

Terdahulu, media melaporkan bahawa tiga pelajar dan seorang bekas pelajar telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes rogol di sebuah sekolah di Baling.



Source link