Bekas naib presiden MCA, Ti Lian Ker menyelar Umno dan memberi amaran bahawa budaya “budak suruhan” hanya akan mempercepatkan kejatuhan parti itu jika terus dibiarkan.
Menurutnya, sikap membodek, berdiam diri atau menjadi “pak turut” membuta tuli mungkin menggembirakan pemimpin atasan untuk sementara, tetapi tidak akan memulihkan kredibiliti MCA mahupun Barisan Nasional (BN).
“Budaya ini mungkin menyeronokkan pemimpin atasan buat sementara, tetapi ia tidak akan memulihkan parti.
“Kekalahan tidak boleh dijadikan alasan untuk menutup mulut ahli. Itu bukan demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ti membidas kenyataan yang menyindir MCA supaya berdiam diri selepas kalah pada pilihan raya umum lalu, dengan merujuk kepada saranan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, yang pernah mentyarankan MCA suapaya “diam”.
“Ramai di akar umbi kecewa bukan kerana parti kalah, tetapi kerana terlalu banyak mesyuarat dan perbincangan diadakan tanpa sebarang keputusan. Politik memerlukan keberanian, bukan sekadar melengah-lengahkan tindakan.
“Isunya bukan sekadar kekal atau keluar BN, tetapi tentang imej, naratif dan keberanian MCA menegur politik Umno termasuk kerjasama dengan DAP yang boleh menjejaskan kelangsungan MCA,” katanya.
Menurut Ti, dalam demokrasi, setiap ahli — sama ada menang atau kalah — berhak, malah wajib menyuarakan pandangan secara membina.

“Apa yang paling mengecewakan akar umbi bukanlah kekalahan parti, tetapi ketiadaan keputusan. Terlalu banyak mesyuarat, perbincangan, dan sesi “brainstorming” — ada yang diadakan di Genting — tetapi akhirnya tiada arah dan tiada kesimpulan,” katanya.
Ti juga menegaskan bahawa dia tidak pernah menggesa MCA keluar daripada BN, malah mempertahankan pendirian parti kekal bersama gabungan itu selepas kejatuhan BN pada 2018.
“MCA mesti kekal setia kepada BN, tetapi kesetiaan tidak bermakna berdiam diri. Kesetiaan tanpa keberanian hanyalah kehambaan dan ia tidak akan memenangkan pilihan raya,” katanya.
Menegaskan pendiriannya, Ti berkata sepanjang tiga dekad dalam politik, dia tidak pernah menjadi “kaki bodek” walaupun sering diketepikan.

“Saya tidak pernah berdiam diri atau menjadi kaki bodek. Sebaliknya saya terus menyumbang pada parti secara politik ilmiah dan bertanggung-jawap dalam semua tulisan saya.
“Budaya budak suruhan yang hanya mengampu pemimpin dan menekan suara akar umbi tidak akan menyelamatkan MCA.
“Hanya prinsip, keberanian, dan kepimpinan yang tegas mampu memulihkan maruah parti,” katanya lagi.
Sebelum ini, rasa tidak puas hati yang memuncak daripada MIC dan MCA, semakin memuncak dan dihangtkan lagi dengan pelawaan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengundang kedua-dua parti itu menyertai gabungan pembangkang Perikatan Nasional (PN).
Dua hari lalu Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan mempersoalkan mengapa sekutu BN, khususnya MIC berdiam diri ketika mesyuarat majlis tertinggi gabungan itu tetapi meluahkan rasa tidak puas hati di tempat lain.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi pula sebelum ini mendakwa MCA kini berpecah kepada dua kumpulan – iaitu mahu parti itu keluar segera daripada BN dan kumpulan yang masih ragu-ragu.