Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun cedera parah selepas ditikam oleh bapa kandungnya sendiri di Kampung Banggol Che Dol, Pohon Tanjung, Pasir Mas, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, ACP Kama Azural Mohamed, berkata kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 9 pagi dan pihak polis pula menerima aduan daripada orang awam lapan minit kemudian.
Katanya hasil siasatan mendapati suspek merupakan seorang lelaki tempatan yang juga bapa kandung mangsa. Katanya, suspek menikam mangsa dua kali di bahagian dada dan sekali di perut menggunakan sebilah pisau pemotong sayur.
“Kejadian dipercayai berpunca daripada krisis rumah tangga dihadapi suspek yang kini dalam proses penceraian kali ketiga dengan isterinya.
“Prosiding perceraian pasangan itu dijadualkan pada 13 Mei ini di Mahkamah Syariah Tumpat.
“Polis turut dimaklumkan bahawa suspek dipercayai menghidapi masalah mental dan menerima rawatan psikiatrik sejak 2008,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kama Azural berkata mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Pasir Mas dan akan dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu bagi rawatan lanjut.
Dia berkata suspek pula ditahan dan kini berada di lokap Balai Polis Pasir Mas sementara menunggu permohonan menahan reman yang akan dibuat di Mahkamah Majistret Kota Bharu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh.
“Polis menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan kes berkenaan.
“Sebarang maklumat berkaitan kes ini boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, ASP Wan Noraida Wan Hamat, di talian 09-7932222,” katanya.
– Bernama