Semua pihak perlu meletakkan fokus membantu rakyat yang dilanda bencana terutama tanah runtuh dan banjir pada masa ini, kata Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor.
Dia menyeru orang ramai supaya melupakan dulu hal ehwal politik, termasuk pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mahupun pilihan raya negeri (PRN).
“Tidak mahu fikir, bubar-bubar tak mahu fikir lagi. Bubar belum lagi kami fikir. Kami fokus untuk memberi bantuan kepada mereka yang terlibat.
“Ini masanya untuk kita tunjukkan perbezaan politik bukan batas, kita mahu membantu,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Katanya, ketika menghadapi musibah, semua pihak termasuk agensi kerajaan mesti digembleng untuk membantu.
“Jangan dulu kita fikir politik-politik ini. Jangan dijadikan isu itu dan ini, bantu rakyat kita dahulu,” dia dipetik sebagai berkata di Papar, Sabah, hari ini.