Malaysia Oversight

Buaya tembaga 3.65 meter ditangkap di Pantai Teluk Bahang

By TheSun in September 24, 2025 – Reading time 1 minute
Buaya tembaga 3.65 meter ditangkap di Pantai Teluk Bahang


GEORGE TOWN: Satu operasi menangkap seekor buaya tembaga sepanjang 3.65 meter telah berjaya dilaksanakan di pesisir pantai belakang sebuah hotel di Teluk Bahang.

Kemunculan reptilia itu telah menggemparkan orang ramai dan pelancong sebelum ia dapat dikuasai oleh pihak berkuasa.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Timur Laut Kapten (PA) Muhammad Aizat Abdul Ghani berkata pihaknya menerima makluman mengenai penemuan buaya itu daripada orang awam pada kira-kira 3.30 petang.

Beliau menyatakan pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) terus bergerak ke lokasi sejurus menerima panggilan.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan APM mendapati buaya itu berada di pesisir pantai yang sering menjadi tumpuan pelancong, nelayan dan penduduk setempat,” katanya.

Percubaan pertama menggunakan bot dan pukat nelayan berjaya membawa buaya itu ke pantai sebelum ia terlepas akibat pukat yang pecah.

Cubaan kedua pada pukul 6 petang akhirnya membuahkan hasil apabila reptilia itu berjaya ditangkap dengan selamat.

Buaya tersebut kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.

Muhammad Aizat menambah bahawa pasukan penyelamat pantai (BAYWATCH) APM akan terus melakukan pemantauan di sekitar kawasan pantai dan laut.

Pemantauan berterusan ini bagi memastikan keselamatan orang awam sentiasa terjamin.

Beliau turut menasihatkan pengunjung supaya berwaspada ketika mandi-manda di kawasan pantai.

Orang ramai dinasihatkan untuk segera menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Kawalan Operasi Negeri APM Pulau Pinang di 04-226 3876 jika ternampak reptilia berkenaan. – Bernama



Source link