Buat Pertama Kali Dalam Sejarah Nyamuk Ditemukan Di Iceland
Effi Saharudin
Iceland daripada namanya sudah boleh diagak adalah negara yang dilitupi salji dan bercuaca sejuk. Oleh sebab itu ia adalah antara lokasi di dunia anda tidak perlu risau digigit nyamuk ketika tidur. Tetapi buat pertama kalinya dalam sejarah manusia, nyamuk telah ditemukan di Iceland minggu ini.

Nyamuk ditemukan oleh Björn Hjaltason pada 16 Oktober ketika beliau mencari rama-rama. Dalam tempoh tiga hari, tiga ekor berjaya ditangkap dengan dua daripadanya betina dan satu jantan. Ia adalah daripada spesis nyamuk Culiseta annulata yang boleh bertahan ketika musim sejuk.
Dengan penemuan ini, hanya Antartika satu-satunya kawasan yang tinggal di bumi nyamuk tidak pernah dijumpai. Kerana tidak pernah melihat nyamuk, Hjaltason pada awalnya mengingatkan beliau telah menangkap spesis lalat yang tidak pernah dilihat sebelum ini.
Ini dilihat sebagai amaran awal Iceland kini “cukup panas” disebabkan pemanasan global untuk menampung kehidupan nyamuk. Sungguhpun begitu, masih terlalu awal untuk mengatakan nyamuk akan dapat kekal hidup dan membiak secara berterusan di Iceland. Teori awal saintis ialah nyamuk ini bertelur di atas kapal kargo dan kemudian terbang ke Iceland.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






