Malaysia Oversight

Boost Bank Kini Menawarkan Pinjaman Membeli Motosikal

By Amanz in September 3, 2025 – Reading time 2 minute
Boost Bank Kini Menawarkan Pinjaman Membeli Motosikal


Boost Bank Kini Menawarkan Pinjaman Membeli Motosikal

September 3, 2025
Aplikasi

Amy Maizuraa

Boost Bank memperkenalkan kemudahan pembiayaan motosikal baharu dikenali sebagai Motorbike Loan. Inisiatif ini dibangunkan melalui kerjasama bersama DCAP Digital dan menjadi penyelesaian sewa beli digital sepenuhnya bagi motosikal baharu dengan kapasiti enjin di bawah 250cc.

Boost Bank Motor 1

Kemudahan ini direka untuk memudahkan pemilikan motosikal dalam kalangan pengguna yang kurang mendapat akses pembiayaan konvensional termasuk pembeli kali pertama, pekerja gig dan penumpang harian. Melalui aplikasi Boost Bank, pengguna boleh membuat permohonan dengan mudah, memantau status pinjaman dan menikmati proses bayaran balik secara automatik melalui sistem debit.

Boost Bank Motor 2 edited

Motorbike Loan ini bukan sahaja mempercepatkan proses kelulusan malah turut menyediakan akses penuh terhadap jadual bayaran balik serta e-penyata tahunan. Dengan pendekatan digital sepenuhnya, Boost Bank menyasarkan untuk menjadikan pemilikan motosikal lebih mudah dan mampu milik bagi orang ramai.

Boost Bank Motor 3

Pembiayaan motosikal yang ditawarkan ini membolehkan pelanggan mendapatkan sehingga 90% daripada nilai jualan motosikal baharu dengan tempoh bayaran balik mencapai 60 bulan. Kadar faedah bermula serendah 0.833% sebulan dan tertakluk kepada penilaian risiko individu. Permohonan boleh diluluskan seawal satu hari bekerja dan kemudahan ini tersedia di pengedar motosikal terpilih.

Berdasarkan semakan melalui ruangan FAQ, pemohon mestilah warganegara Malaysia berumur antara 18 hingga 60 tahun dengan pendapatan bulanan minimum sebanyak RM1500. Hanya motosikal baharu jenis moped dengan kapasiti enjin di bawah 250cc layak untuk dimohon melalui aplikasi Boost Bank.

Boost Bank Motor 4

Permohonan tidak memerlukan penjamin namun insurans wajib dikekalkan sepanjang tempoh pembiayaan. Sekiranya berlaku tunggakan bayaran, notis pertama akan dikeluarkan 21 hari sebelum tindakan diambil. Jika tiada bayaran diterima, notis susulan akan dihantar selepas 14 hari.

Sekiranya tiada respons selepas notis kedua, tindakan lanjut boleh dimulakan oleh wakil berlesen. Pelanggan diberikan tempoh 21 hari untuk menyelesaikan tunggakan, melunaskan baki penuh atau memperkenalkan pembeli baharu. Jika tiada tindakan diambil, motosikal berkenaan boleh dilelong atau dijual secara persendirian.

Boost Bank Motor 5

Pembiayaan boleh ditamatkan lebih awal dengan memulangkan motosikal kepada pihak bank. Jika nilai jualan semula lebih rendah daripada baki pinjaman, pelanggan perlu menanggung perbezaan tersebut. Sepanjang tempoh pembiayaan, motosikal kekal sebagai milik sah Boost Bank dan sebarang penjualan atau pemindahan tanpa kebenaran adalah tidak dibenarkan.

Komen

Sila log masuk untuk menghantar komen.



Source link