Bekas ahli parlimen Bersatu, Wan Saiful Wan Jan menyindir hubungan rapat antara Mohamed Azmin Ali dan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, dengan mendakwa bekas menteri hal ehwal ekonomi itu merupakan “anak emas” dalam parti yang mendapat segala keistimewaan.
Wan Saiful secara berseloroh menyoal “bomoh apa” yang digunakan Azmin sehingga begitu disayangi oleh Muhyiddin.
“Sehingga dulu Tan Sri Muhyiddin sanggup ketepikan hiraki parti secara keseluruhan, hari ini sanggup hilang begitu ramai pejuang awal dalam parti semata-mata nak pertahankan Azmin Ali,” katanya pada siaran audio podcast PODaBoom bersama pengacara Terence Fernandez dan Ahiruddin Atan.
Turut hadir dalam rakaman itu ialah Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang juga menjadi panel bersama.

Wan Saiful turut mendakwa ketika pentadbiran bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob, Muhyiddin mencadangkan Azmin sebagai calon timbalan perdana menteri daripada Bersatu.
“…menamakan Azmin Ali (calon timbalan perdana menteri) tu pun Tan Sri (Muhyiddin) tak bawa dalam majlis tertinggi…
“Banyak keputusan-keputusan yang dibuat tak bincang dengan kami dalam majlis tertinggi, tiba-tiba jalan,” tambahnya.
Apabila ditanya mengenai keistimewaan Azmin dalam parti, Wan Saiful menjawab: “Saya pun tak tahu apa yang specialnya (Azmin).”

“Kalau benar (guna) bomoh, saya nak pergi jumpa juga… akar umbi Bersatu sampai hari ini tak boleh terima hakikat Azmin dapat kedudukan istimewa dalam Bersatu, sehingga Tan Sri sanggup melantik Azmin sebagai setiausaha agung Perikatan Nasional (PN)…
“PAS ni tak berapa selesa dengan Azmin,” dakwa Wan Saiful.
Menurutnya PAS pernah menghantar surat kepada Muhyiddin untuk menyatakan rasa tidak puas hati terhadap pelantikan jawatan utama dalam PN tanpa sebarang rundingan rasmi.
“Istimewa sungguh Azmin ni, saya nak tahu lah bomoh apa dia guna,” kata Wan Saiful lagi.

Kenyataan itu muncul hanya seminggu selepas Bersatu memecat Wan Saiful pada 14 Oktober lalu manakala Wan Ahmad Fayhsal digantung keahlian selama satu penggal.
Kedua-duanya merupakan antara enam ahli Bersatu yang dikenakan tindakan disiplin kerana didakwa melanggar peraturan parti.
Empat lagi yang dipecat ialah Mohd Azrudin Md Idris (Bahagian Hang Tuah Jaya), Mohd Faizal Asmar (Pengerang), Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur) dan Mohd Isa Mohd Saidi (Ampang).
Menurut Lembaga Disiplin Bersatu, tindakan itu dibuat selepas menerima aduan bertulis berhubung pelanggaran perlembagaan dan tatakelakuan parti.

Dalam perbualan sama, Wan Saiful mempertikaikan hala tuju Muhyiddin dalam mengemudi parti selepas ramai ahli asal disingkirkan.
“Yang kita kena tanya Tan Sri nak bawa ke mana sebenarnya (Bersatu),” katanya.
Tambahnya lagi, Muhyiddin bukan lagi sosok sesuai untuk memimpin PN menghadapi PRU-16, memandangkan dia kini berdepan pelbagai isu termasuk kes mahkamah yang sedang berjalan.






