PETALING JAYA: Platform e-hailing, Bolt Malaysia, melancarkan ciri terbaharu dinamakan ‘Early Cash Out’ yang membolehkan rakan pemandu mengeluarkan pendapatan mereka setiap hari dengan caj pemprosesan minimum.
Langkah itu bertujuan meningkatkan keupayaan pemandu mengurus aliran tunai harian, sekali gus memberi mereka lebih kawalan terhadap kewangan dalam suasana kos sara hidup yang semakin mencabar.
Menurut kenyataan, kajian dalaman Bolt Malaysia mendapati lebih 70 peratus rakan pemandunya bergantung kepada e-hailing sebagai sumber pendapatan utama, dengan sebahagian besar hasil digunakan untuk menampung perbelanjaan asas seperti makanan, minyak dan keperluan rumah tangga.
“Dengan ciri baharu itu, rakan pemandu yang aktif sekurang-kurangnya dua minggu dan telah melengkapkan minimum 25 perjalanan boleh mengeluarkan pendapatan mereka sekali sehari, tertakluk kepada jumlah yang mencukupi.
“Caj pemprosesan dikenakan serendah RM3 bagi setiap transaksi, manakala jumlah pengeluaran minimum ditetapkan pada RM1,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Bolt Malaysia, Afzan Lutfi berkata, inisiatif tersebut dilaksanakan bagi membantu pemandu mengakses pendapatan mereka dengan lebih cepat dan mengurangkan tekanan kewangan.
“Bagi ramai rakan pemandu kami, pendapatan daripada e-hailing digunakan terus untuk menampung keperluan harian, sama ada untuk mengisi minyak, membeli makanan, atau menanggung perbelanjaan rumah.
“Ciri ini membantu merapatkan jurang antara melengkapkan perjalanan dan menggunakan pendapatan tersebut. Ia mungkin kelihatan kecil, tetapi sebenarnya dapat mengurangkan tekanan, terutamanya selepas seharian bekerja,” katanya.
Pelancaran ‘Early Cash Out’ ini juga selaras dengan misi Bolt untuk memudahkan rakyat Malaysia menjana dan mengurus pendapatan melalui perkhidmatan e-hailing.
Akses harian kepada pendapatan membolehkan pemandu mengurus aliran tunai dengan lebih fleksibel, terutamanya ketika berdepan kenaikan harga minyak dan peningkatan kos sara hidup.
Tambahnya, ciri baharu ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan syarikat untuk memperkukuh platform berteraskan rakan pemandu, dengan struktur pendapatan yang telus serta model komisen mampan.
“Selain itu, Bolt turut melabur dalam pembangunan teknologi dan perkhidmatan sokongan bagi membantu pemandu mengawal kerja, masa dan pendapatan mereka dengan lebih cekap, termasuk penambahbaikan dalam aplikasi dan peluasan akses kepada peluang pendapatan di seluruh negara,” tambah kenyataan itu. – UTUSAN






